Menteri Kewangan sahkan projek RM2 bilion tetapi mengapa kepada syarikat bermasalah?


Pengesahan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkenaan penganugerahan Projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 kepada sebuah syarikat kroni Umno secara runding terus hanya membenarkan duga sangka sebelum ini bahawa kerajaan BN - PN tidak berubah, sama seperti era pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dalam hal pemberian tender tanpa ketelusan.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, jawapan Tengku Zafrul baru baru ini bahawa rundingan terus yang diluluskan sehari sebelum Parlimen dibubarkan telah mengikut prosedur dan proses perolehan kerajaan, dan jawapan Menteri Alam sekitar dan Air (KASA) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak memperlihatkan tadbir urus yang baik sama sekali.
"Saya ingin mengingatkan Tengku Zafrul dan Tuan Ibrahim Tuan Man supaya tidak berselindung di sebalik ulasan pentadbiran bahawa semua keputusan telah dibuat mengikut prosedur dan proses perolehan kerana reaksi kerajaan sebelum ini pun sama.
"Hanya apabila lebih banyak maklumat mengenai latar belakang sesuatu kes didedahkan, barulah pimpinan politik di dalam kerajaan mula bercakap dengan nada yang berlainan.
"Sedangkan prosedur dan proses perolehan yang ditetapkan Perbendaharaan bertujuan untuk memastikan pembida yang terbaik mendapat tender pada nilai yang terbaik kepada kerajaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, hari ini.
Calon Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Pandan itu jelas tidak berpuas hati dengan proses rundingan terus yang dijalankan.
Beliau bertanya, bagaimana proses dan prosedur kewangan Perbendaharaan boleh mempertimbangkan sebuah syarikat yang berdepan dengan dua petisyen muflis di mahkamah setelah disaman kerana dituduh tidak membayar hutang oleh sub-kontraktor dilantik menjadi kontraktor projek utama negara pada harga RM2 bilion?
Juga bagaimana sebuah syarikat yang didakwa telah pun mendapat lebih dari RM2 bilion projek-projek di bawah KASA boleh dipertimbangkan lagi untuk projek besar sedangkan projek sedia ada yang dikendalikannya dikenal pasti bermasalah?
Pada masa sama, katanya, Tuan Ibrahim Tuan Man pula tidak boleh mencuci tangan seolah-olah beliau tidak tahu menahu mengenai kes tersebut.
Secara lazimnya, kata Rafizi, kementerian menetapkan bentuk perolehan yang akan digunakan. Apabila perolehan itu berbentuk tender terhad atau rundingan terus, kementerian terbabit perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan perolehan yang bukan tender terbuka.
"Perbincangan, proses dan prosedur melibatkan tender sebesar RM2 bilion ini bukanlah bermula sehari sebelum Parlimen dibubarkan. Ia sudah tentu dimulakan dari KASA sendiri yang perlu melalui kelulusan Perbendaharaan.
"Oleh itu, Tuan Ibrahim Tuan Man perlu menjelaskan kepada rakyat secara terbuka dan terperinci mengenai latar belakang projek ini," katanya
Rafizi terus mempersoalkan adakah projek berkenaan telah dicadangkan oleh KASA atau adakah kementerian Tuan Ibrahim mahu menjalankan secara tender terbuka tetapi ditolak oleh Kementerian Kewangan atau memang kementeriannya yang mencadangkan kaedah runding teus.
"Saya tahu Tuan Ibrahim Tuan Man marah dan hanya boleh menyerang saya kononnya kes ini adalah fitnah kerana ia melibatkan prestasi beliau sebagai seorang menteri.
"Kalau pun beliau tidak terlibat dengan mereka di belakang syarikat kroni tersebut maka beliau telah gagal mentadbir dengan baik sehingga projek-projek sebesar ini diluluskan secara rundingan terus tanpa pengetahuan beliau.
"Di mana kawalan dan kepimpinan seorang menteri jika beliau terlepas pandang setiap keputusan penting dalam proses perolehan projek ini?
"Sebab itu, cara yang lebih baik ialah untuk beliau menjawab persoalan-persoalan yang saya timbulkan terutamanya mengenai latar belakang projek ini," katanya.
Tambah Rafizi, jika kementerian Tuan Ibrahim memang mahu menjalan projek secara runding terus maka kelihatan Tuan Ibrahim tidak peka soal penyelewengan dan tata kelola perolehan.
Sebaliknya jika kementerian beliau diarahkan untuk melantik syarikat tersebut tetapi bertentangan dengan keputusan asal KASA, di mana suara dan keberanian Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan wang rakyat?
Manakala jawapan tidak tahu apa apa, kata Rafizi, bukanlah jawapan yang sepatutnya diberikan oleh seorang Menteri yang bertanggungjawab, apatah lagi berasal daripada parti memperjuangkan Islam seperti Pas.




Comments