Menteri Kewangan II diarah sedia laporan sistem cukai hibrid GST-SST
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 1 min read
Updated: 11 hours ago

Kerajaan akan memberikan sedikit masa kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk menyediakan laporan susulan cadangan menggabungkan elemen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kata Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, laporan berkenaan akan dibawa semula ke peringkat Jemaah Menteri untuk perbincangan lebih lanjut.
"Ini masih di peringkat awal dan Kementerian Kewangan (MOF) diberi masa memandangkan ia bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara terburu-buru dan melibatkan aspek-aspek pengajaran daripada pelaksanaan sistem GST, isu-isu dihadapi berdasarkan sistem SST waktu ini.
"Jadi perkara-perkara ini akan dipertimbang oleh Kementerian Kewangan sebelum dibawa untuk dibincang dan diputus di Jemaah Menteri," katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri supaya Kementerian Kewangan, khususnya Menteri Kewangan II meneliti secara menyeluruh cadangan pelaksanaan sistem percukaian hibrid SST-GST berkenaan.
Semalam, Anwar berkata, kerajaan terbuka melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan SST dan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Ujar Anwar lagi, kerajaan bagaimanapun akan mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian ketika ini, namun tidak menolak kemungkinan menerima beberapa ciri GST yang dilihat sesuai bagi mewujudkan sistem percukaian lebih baik.




Comments