Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini melawat beberapa kemudahan kesihatan di parlimen Kemaman, Terengganu.
Salah satu yang dilawatinya adalah hospital baharu buat penduduk Kemaman yang bakal siap pada tahun hadapan.
Menurut beliau, hospital baharu tersebut mampu mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada yang tidak lagi mampu menampung pertambahan bilangan pesakit.
"Tadi saya ke hospital Kemaman. Bangunan baru Hospital Kemaman dalam fasa 75% (pembinaan) dan kita jangkakan akan siap pada bulan Ogos tahun hadapan.
"Kita harap selepas itu boleh digunakan. Fasiliti kesihatan Hospital Kemaman sedia ada akan dijadikan hospital untuk menumpukan pesakit ibu dan anak.
"Maknanya kita kurangkan kesesakan dengan adanya Hospital Kemaman baru," kata beliau dalam temubual ringkas bersama Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad nadhir Yob pagi tadi.
Selain itu, Dr Zaliha juga ke Klinik Desa Binjai, satu projek naiktaraf klinik daif dengan lantai dan dinding reput serta pendawaian elektrik bermasalah.
"Saya lihat klinik telah cantik, lantai diganti baru. Saya tanya pesakit yang datang, mereka rasa selesa untuk mendapatkan rawatan.
"Saya juga pergi ke Klinik Kesihatan Air Putih, klinik pergigian di situ perlukan naik taraf. InshaAllah untuk tahun hadapan kita akan beri peruntukan agak besar untuk Terengganu, sejumlah RM175 juta untuk urusan penambahbaikan dan naiktaraf fasiliti kesihatan," katanya lagi.
Comments