Menteri Kesihatan jamin selesai segera isu kesesakan HSA
- Suara Keadilan
- Jan 20, 2024
- 1 min read

Isu kesesakan dan lambakan pesakit di zon semi kritikal serta kritikal Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru akan diatasi segera.
Jaminan itu diberikan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad melalui ciapan di akaun X susulan notis penutupan sementara zon hijau di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA bermula pukul 2 petang hingga 9 malam, Rabu lalu yang membangkitkan ketidak puasan hati orang awam.
Sambil menjelaskan penutupan itu merupakan mekanisma KKM untuk mengurangkan waktu menunggu di jabatan kecemasan, beliau memberi jaminan akan berusaha memastikan kejadian sama tidak lagi berulang di hospital berkenaan.
"Ini (penutupan Zon Hijau HSA) mekanisma KKM untuk mengurangkan waktu menunggu di jabatan kecemasan.
"Ia diaktifkan apabila ada lonjakan kes menunggu tidak kritikal di zon kecemasan. Ini bagi mengurangkan masa menunggu. Harap maklum," jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan penutupan sementara zon hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA pada Rabu lalu bagi menampung peningkatan pesakit zon kuning dan merah yang melebihi kapasiti.
Comments