Oleh: Helmi Mohd Foad
Kepimpinan KEADILAN termasuk menteri-menteri jika menghadiri program di Kelantan disaran agar tidak lupa bertemu dengan anggota parti di peringkat negeri.
Wakil Kelantan Che Mat Che Hussain berkata pimpinan negeri merasa seolah-olah terpinggir apabila kalangan menteri yang turun di negeri itu hanya banyak berkongsi maklumat dengan pegawai-pegawai jabatan kerajaan dan agensi.
"Kami di Kelantan ini juga kemanusiaan. Di Kelantan politik tidak sama dengan tempat lain, orang Kelantan dari pagi hingga ke malam kecek (bercakap) politik.
"Mungkin di Selangor tidak sama dengan Kelantan, penjawat awam kuat berpolitik, banyak menteri hanya mendengar ketua pengarah, politik di Kelantan saya minta hadirin yang di atas (pimpinan) dengarlah nasihat orang Kelantan, jangan tidak dengar.
"Banyak menteri atau YB yang tidak kenal di mana alamat (MPN) Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.. banyak menteri turun Kelantan tak kenal pun Biro Politik dan tidak santuni KC (Ketua Cabang)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini.
Che Mat yang juga Bendahari KEADILAN Kelantan berkata ada juga segerombolan kecil pihak yang melalui pintu belakang menyalurkan dana kepada orang ramai.
Beliau juga mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan kerana kepimpinan yang disokong oleh rakyat bawahan.
"Kekuatan pimpinan kerana kami rakyat yang sokong, kami akan bersatu padu untuk kuatkan kerajaan ini. Bak kata pepatah, orang bijaksana dahulu berdiri pohon kerana akarnya, kuat akarnya kerena tanahnya," katanya
Beliau turut mendedahkan bahawa hampir 80 peratus kakitangan jabatan kerajaan tidak menyokong politik KEADILAN.
"Kadang-kadang daripada peringkat bawah, rakyat mohon bantuan kerajaan, kita seolah-olah melukut di tepi gantang. Datang menteri suruh perkuat Kelantan, nak buat macam mana kalau air pun tidak ada untuk minum, nasi pun tak ada, macam mana nak kuat," katanya.
Comments