
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau ICERD yang telah lama berkubur dihidupkan kembali oleh pemimpin politik parti lawan bagi memburuk burukkan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ratifikasi ICERD oleh kerajaan Malaysia seharusnyan tidak timbul, apatah lagi pemimpin yang membawa hal itu ke kabinet, Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah 3 tahun meninggalkan PH.
"Isu PH sokong ICERD. Boleh tanya apa keputusan kita masa itu. Yang bawa (ICERD) Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Pasal apa nak disalahkan orang lain? Tak dibincangkan, yang bawa Saifudin.
"Saifuddin sekarang sekutu Pas dan Bersatu. Jujur ke tidak? Tak jujur. Kalau nak tanya tanyalah Saifuddin dengan Waythamoorthy yang bukan dari PH. Betul Mahathir lulus, itu soal lain.
"Kemudian apa yang berlaku di Parlimen? Dibentangkan, saya runding dengan kawan DAP, Amanah, KEADILAN, kita minta tangguh supaya dibincang.
"Orang (rakyat) kena faham, orang tak tahu. Yang orang tahu ICERD ini agenda antarabangsa tolak Melayu, tolak Islam, liberal LGBT. Itu sahaja dia faham.
"Yang buat ini siapa? Saifuddin Abdullah sekutu Pas dan Bersatu. Mengapa tak salahkan dia? Pergi pula kempen untuk dia. Tak bohong ke macam ini? Memperbodohkan rakyat," katanya dalam siri Jelajah Mega Harapan Selangor di Kuala Selangor, malam tadi.
Sehubungan itu, calon Perdana Menteri ke 10 itu mahu rakyat berubah dan tidak lagi menyokong BN atau PN dalam PRU 15.
Katanya, sekiranya BN atau PN dibenarkan lagi memerintah maka rakyat akan menghadapi isu sama sebagaimana 3 tahun lalu, menteri yang ramai, kerajaan huru hara dan Perdana Menteri melantik banyak penasihat.
"Kita PH bawa penyelesaian. PN ke BN apa penyelesaiannya? Menteri 70 orang. Kita ubah Muhyiddin ke Ismail Sabri dia tambah lagi penasihat kepada PM. Tak cerdik benarkah PM sampai kena cari penasihat ramai?
"Tanya apa nasihat dia beri? Tak ada, pejabat pun tak pergi. Tetapi beri (elaun) RM50,000 sebulan," katanya.
Menurut Anwar, rakyat Malaysia telah membazirkan banyak masa melihat pemimpin bertelagah dan menghilangkan potensi anak muda untuk mendapat pendidikan terbaik hanya kerana Menteri Pendidikan yang salah dilantik.
"Kita kena tanya mengapa mutu pendidikan kita tidak berobah, tidak meningkat setelah puluhan tahun. Mengapa bergaduh hal kaum tetapi mutu pendidikan tak meningkat.
"Bolehkah satu negara 60 tahun merdeka bergaduh sahaja dan mutu pendidikan tak meningkat? Ibu bapa kita pula sakit terpaksa menunggu berminggu, berbuan untuk mendapatkan rawatan kesihatann yang baik," tanyanya.
Kerajaan PH, tegas beliau tidak akan toleran terhadap rasuah dan sanggup mendakwa mana mana pemimpin yang menyeleweng daripada perjuangan mereka.
"Kita ambil pimpinan tak tolak ansur rasuah, ada sahaja ciri jahiliah pimpinan kita, kita tangkap dan sumbat mereka.
"Tengok yang khianat dulu bersyarah berdegar. Bila berhadapan dengan wang, pangkat, dia jadi pengkhianat yang tak guna paling jijik.
"Tiada maaf bagimu. Kita akan lawan untuk mengajar masyarakat. Politik bukan mainan untuk mencari kuasa," katanya lagi.