
Kementerian Sumber Manusia tidak akan berkompromi terhadap apa juga bentuk kezaliman dilakukan terhadap pekerja di negara ini.
Menterinya, V. Sivakumar berkata telah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan tular baru-baru ini bahawa seorang penghantar makanan dizalimi sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran makanan.
Malah jelasnya, beliau telah mengarahkan pegawai kementerian menghubungi syarikat terbabit bagi membolehkan siasatan dibuat secepat mungkin.
"Saya ambil maklum dan telah mengarahkan pegawai saya... untuk menyiasat dan selesaikan isu ini dengan segera," katanya di Twitter.
Isnin lalu seorang penghantar makanan mendakwa gaji yang sepatutnya diterima berjumlah RM800 pada minggu itu. Namun dia mendakwa hanya menerima bayaran berjumlah RM500.
Muhd Saifuddin Mustafa, 28 melalui video di aplikasi TikTok mendakwa perkara itu berpunca akibat tindakan membatalkan pesanan selain menyatakan ID akaun juga telah digantung syarikat selama beberapa hari menyebabkan dia tidak dapat bekerja.
Video yang dimuat naik menggunakan akaun @saifulxander_ itu juga setakat ini telah mendapat lebih 900,000 tontonan.