
Orang ramai digesa mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas berhubung isu kalimah Allah kerana ia melibatkan isu teknikal perundangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata langkah itu perlu bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama di negara ini.
"Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap isu ini.
"Ini kerana ia berkaitan isu teknikal perundangan dan mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama," katanya.
Terdahulu, KDN dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penghakiman yang membenarkan Jill Ireland - seorang warga Sarawak bukan Islam - yang membawa masuk ke Malaysia bahan bacaan agama selain Islam bertulis kalimah Allah untuk bacaan peribadi.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penarikan balik itu susulan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu, dan bukannya isu teologi melibatkan penggunaan kalimah Allah.
Sementara itu Mohd Na'im Mokhtar ketika mengulas kenyataan Saifuddin berkata, beliau yakin KDN akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam melindungi dan memelihara dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah suci dalam agama Islam," katanya lagi.
コメント