Menteri Agama tinjau persiapan haji di Arab Saudi, hadiri forum Umrah & Ziarah
- Redzuan Shamsudin

- 5 days ago
- 2 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, selamat tiba di Arab Saudi semalam bagi menjalankan lawatan kerja rasmi yang memfokuskan kepada persiapan musim haji tahun ini.
Menurut kenyataan media, beliau bersama pasukan mengharungi jadual yang padat sepanjang berada di negara berkenaan, termasuk menghadiri jemputan khas ke Forum Umrah & Ziarah di Madinah.
"Syukur, selamat tiba bersama pasukan saya di Arab Saudi. Jadual memang padat sepanjang urusan kerja di sini.
"Alhamdulillah, saya dapat jemputan khas ke Forum Umrah & Ziarah di Madinah, satu peluang yang sangat bermakna," katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa lawatan tersebut turut dimanfaatkan untuk memantau serta membincangkan persiapan haji bagi tahun ini terutama di tengah tengah konflik Asia Barat yang menyaksikan serangan peluru berpandu Iran ke Arab Saudi.
"Dalam masa yang sama, terus manfaatkan masa untuk pantau dan bincang persiapan haji tahun ini.
"Alhamdulillah, semua berjalan lancar mengikut perancangan," ujarnya.
Beliau turut berkesempatan meninjau sendiri penempatan baharu bakal jemaah di Mekah, termasuk kemudahan yang disediakan untuk petugas Lembaga Tabung Haji.
"Dapat juga turun tengok sendiri penempatan baharu bakal jemaah di Mekah, termasuk kemudahan untuk para petugas Tabung Haji di sana.
"Jujurnya, banyak penambahbaikan telah dibuat – dari segi infrastruktur, logistik dan penginapan; semua makin selesa dan tersusun," katanya lagi.
Menurut beliau, usaha berterusan yang dilakukan bukan sekadar tugas biasa, sebaliknya merupakan khidmat kepada tetamu Allah.
"Ini bukan sekadar kerja, tapi khidmat untuk tetamu Allah. Tahniah kepada Tabung Haji dan semua yang bertungkus-lumus di belakang tabir. Biar jasa jadi kenangan," katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus mengekalkan kecemerlangan dalam memastikan pengurusan haji berjalan lancar.




Comments