top of page

Menokhtahkan Kemiskinan Menurut Perspektif Islam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 6 min read

ree

Oleh: Senator Dr Zulkifli Hasan


ULASAN: Kemiskinan merupakan masalah sosial yang berlaku dalam setiap zaman dan melanda hampir semua negara di dunia, tidak terkecuali negara yang maju dan membangun.


Walaupun tahap dan bentuknya berbeza, kesannya tetap besar terhadap kesejahteraan rakyat secara umumnya. Atas sebab itu, setiap negara termasuk Malaysia berusaha membasmi kemiskinan, terutamanya kemiskinan tegar yang menjadi punca kepada kelemahan taraf hidup, ketidakupayaan asas dan kitaran kemunduran yang berterusan.


Kaya dan miskin sebagai ujian


Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa kekayaan dan kemiskinan adalah sebahagian daripada sunnatullah dalam kehidupan manusia. Firman-Nya:


وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿١٦٥﴾‏


Maksudnya: “Dan Dia jualah yang telah menjadikan kamu selaku pemerintah di bumi dan meninggikan darjat sebahagian kamu atas sebahagian yang lain untuk menguji sikap kamu terhadap nikmat yang telah dikurniakan. Sesungguhnya Tuhan kamu amat pantas balasan-Nya dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Surah al-An‘ām (165)


Begitu juga firman Allah SWT:


أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ ‎﴿٣٢﴾‏


Maksudnya: “Adakah mereka akan membahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagikan keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia. Kami angkat darjat sebahagian daripada mereka lalu ada yang kaya dan miskin; supaya yang kaya dapat membantu yang miskin. Rahmat Tuhanmu itu lebih baik daripada kemewahan dunia yang mereka himpunkan.”

Surah al-Zukhrūf (32)


Kedua-dua ayat ini membuktikan bahawa perbezaan taraf ekonomi bukanlah suatu kecacatan pada ciptaan Allah SWT, tetapi merupakan ujian kepada keduanya sama ada yang kaya atau miskin.


Orang kaya diuji dengan amanah harta, menolong mereka yang lemah, mengeluarkan zakat dan bersedekah manakala yang miskin pula diuji dengan kesabaran menghadapi kesukaran hidup dan usaha untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik.


Dalam konteks ini, pemerintah atau kerajaan bertanggungjawab untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan yang memerlukan sedayanya. Kemiskinan mesti ditangani sebaiknya, apatah lagi usaha menokhtahkan kemiskinan tegar yang menghalang seseorang daripada memenuhi keperluan asas kehidupannya.


Kefarduan membasmi kemiskinan


Islam memandang kemiskinan sebagai satu cabaran sosial yang perlu diatasi. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “كاد الفقر أن يكون كفرا” yang bermaksud “hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran”.


Penyataan ini jelas menunjukkan bahawa kemiskinan yang melampau berisiko menjerumuskan seseorang kepada kekufuran kerana adanya keterdesakan dan kehilangan daya tahan moral dalam kehidupan.


Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah berdoa:


اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْفَقْرِ وَالْكُفْرِ


Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kefakiran dan kekufuran.”

(Riwayat Abu Daūd dan al-Nasa’i)


Melalui doa ini, Nabi SAW mengajarkan kita agar berlindung daripada kefakiran sebagaimana kita berlindung daripada kekufuran. Berkait rapat dengan perkara ini, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi ada menyatakan bahawa kemiskinan yang berpanjangan merupakan ancaman kepada akidah, akhlak dan keselamatan negara. Beliau turut menjelaskan, kemiskinan bukan suatu fitrah yang perlu diraikan, tapi satu masalah yang mesti diselesaikan.


Matlamat “Menoktahkan Kemiskinan Tegar” di Malaysia


Antara keajaiban abad ke-21 yang barangkali boleh disebutkan ialah mengenai kejayaan negara Republik China membasmi kemiskinan rakyatnya. Sepanjang empat dekad lalu,

China sudah berjaya mengeluarkan lebih 800 juta rakyatnya daripada kemiskinan tegar.

Senator Dr Zulkifli Hasan
Senator Dr Zulkifli Hasan

Negara China menunjukkan bahawa usaha membasmi kemiskinan boleh dilaksanakan secara efisien sekiranya menggunakan model dan perancangan yang baik seperti menumpukan kepada pembangunan wilayah dan mewujudkan peluang pekerjaan, menambah baik infrastruktur serta memacu industri baharu.


Kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan juga adalah sangat membanggakan. Pada tahun 1970-an kadar kemiskinan di negara kita adalah sekitar 49.3% dan kini ia hanya sekitar 0.2% bagi miskin tegar dan 0.7% bagi miskin. Ini merupakan keajaiban ekonomi dan pencapaian yang sangat cemerlang di samping mampu menjadi contoh dan model kepada negara-negara lain dalam usaha membasmi kemiskinan.


Namun begitu, masih terdapat banyak isu dan permasalahan berkaitan kemiskinan seperti kemiskinan luar bandar, kemiskinan bandar termasuk kemiskinan tegar yang masih membelenggu sebilangan kecil rakyat.


Dalam konteks ini, istilah menoktahkan kemiskinan sering disalah tafsir seolah-olah kerajaan mahu menghapuskan kemiskinan secara mutlak. Hakikatnya, kemiskinan dalam bentuk relatif akan sentiasa wujud kerana perbezaan pendapatan dan keupayaan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan.


Namun, matlamat sebenar dan apa yang dimaksudkan oleh kerajaan adalah untuk membasmi dan menoktahkan kemiskinan tegar, iaitu keadaan di mana isi rumah tidak mampu memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.


Perkara ini telah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedari awal beliau memegang tampuk pemerintahan kerajaan; “Saya bagi amanah besar kerana saya kata tahun ini juga, tahun 2023, kita menoktahkan miskin tegar.


Kita ada orang miskin, tetapi yang ini jauh lebih miskin, susu anak tak mampu beli, tidak boleh beli pakaian anak bersekolah, ini bukan B40 tetapi yang paling miskin. Saya tidak mahu kita tidur lena dan mereka sengsara, sebab itu ada sahaja senarai miskin tegar, kita terus ambil tindakan untuk bantu mereka.”


Agihan zakat secara sistematik


Dalam siri ucapan beliau yang lain, berkenaan soal penyelesaian masalah kemiskinan, Kerajaan MADANI komited menjadikan kemiskinan tegar ini sebagai suatu yang harus diperangi dan ia melibatkan usaha pelbagai dimensi. Pembasmian kemiskinan tegar adalah sesuatu yang bukan mustahil malahan ia boleh dilaksanakan dengan jayanya dengan sokongan dan kerjasama semua pihak berkepentingan sama ada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri mahupun agensi dan sektor korporat serta masyarakat sivil.


Salah satu usaha yang berkesan membasmi kemiskinan tegar di Malaysia ini adalah melibatkan program agihan zakat secara sistematik dan berkesan. Zakat mampu untuk membantu miskin tegar bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.


Selain itu, program peningkatan pendapatan seperti latihan kemahiran, bantuan modal, perlindungan sosial, bantuan tunai, perumahan dan kesihatan serta pelbagai lagi usaha lain boleh diperuntukkan oleh pihak kerajaan.


Hasilnya dalam masa yang agak singkat hanya beberapa tahun Kerajaan Madani, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati bahawa kemiskinan tegar di keseluruhan negara mulai susut sehingga mencapai angka 0.2% pada tahun 2023 berbanding 1% pada tahun 2020. Dan setakat November tahun 2024, jumlah miskin tegar di Malaysia terus menurun kepada 2,191 keluarga berbanding 91,789 keluarga yang direkodkan pada tahun lalu, 2023.


Bukan itu sahaja, berdasarkan data e-Kasih yang dikongsikan Kementerian Ekonomi, empat negeri telah pun merekodkan sifar miskin tegar setakat November 2024 iaitu Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis. Malahan, negeri-negeri lain turut merekodkan penurunan insiden miskin tegar secara signifikan.


Kesemua data dan angka ini menjadi bukti dan platform menandakan bahawa kemiskinan tegar boleh dihapuskan dan dinoktahkan. Inilah yang cuba Kerajaan Madani lakukan iaitu melaksanakan sedayanya untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Akan tetapi, visi dan misi ini tidak akan tercapai jika tiada usaha yang berterusan, perancangan yang menyeluruh dan juga sokongan serta kerjasama semua pihak hatta daripada pihak pembangkang kerajaan sekalipun.


Ta’awun dalam kebaikan


Kita percaya bahawa setiap orang menginginkan yang terbaik untuk negara. Kita juga yakin bahawa tiada yang rela diri mereka atau ahli keluarga, sanak saudara mahupun saudara senegara kita terbelenggu dalam masalah kemiskinan.


Lantaran itu, isu kemiskinan sentiasa menjadi buah bicara dan topik hangat dalam masyarakat, pelbagai idea dan cadangan penyelesaian dilontar, malah disulam dengan helaian data dan angka, hakikatnya ini suatu perkara yang perlu dibasmi dan dinoktahkan bersama.


Namun demikian, sedikit mengecewakan tatkala ada pihak yang memperlekeh usaha murni dalam menoktahkan isu kemiskinan tegar ini, dikatanya pula usaha “menoktahkan kemiskinan hanya sembang kosong.” Perkara ini berlawanan dengan semangat dan tuntutan saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan seperti mana firman Allah SWT;


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ


Maksudnya: “Tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa.”

Surah al-Ma’idah (2)


Mengapa pula usaha yang baik yakni menoktahkan kemiskinan tegar ini diperlekeh dan dipandang rendah? Tepuk dada tanya selera. Cuba kita letakkan ke tepi motif politik atau kecenderungan tertentu yang merugikan. Seharusnya semua pihak menghayati semangat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dalam membanteras kemiskinan tegar ini. Usaha ini bukanlah bebanan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya ia memerlukan dokongan seluruh masyarakat demi membina negara yang lebih makmur dan sejahtera.


Tindakan kolektif atasi kemiskinan


Kemiskinan adalah realiti sosial yang memerlukan tindakan kolektif. Allah SWT menjadikan kaya dan miskin sebagai ujian, tetapi Islam mewajibkan kita menghapuskan kemiskinan tegar melalui instrumen zakat, sedekah, wakaf, dan dasar-dasar ekonomi yang adil. Firman Allah SWT:


وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ ‎﴿١٩﴾‏


Maksudnya: “Dan dalam harta benda mereka, ada bahagian untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri daripada meminta.”

Surah al-Zāriyāt (19)


Oleh itu, menoktahkan kemiskinan tegar bukanlah menentang sunnatullah, sebaliknya menunaikan amanah agama dan kemanusiaan untuk memastikan tiada seorang pun yang hidup tanpa keperluan asas demi maruah diri, keluarga dan negara. Malaysia Madani, Rakyat Disantuni.

Penulis merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page