top of page

Menjelang PRN: Rakyat Sabah jangan terpengaruh politik fitnah kaitkan PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Rakyat Sabah diseru agar tidak terpengaruh dengan permainan politik fitnah, adu domba dan cubaan memanipulasi isu yang mengelirukan rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud memberi peringatan itu sebagai mengulas kontroversi terbaharu menyasarkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah hujung minggu ini.


"Dalam suasana politik yang semakin panas menuju pilihanraya ini, KEADILAN Sabah menyeru seluruh rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan politik fitnah.


"Masa depan Sabah tidak wajar ditentukan oleh permainan elit politik, tetapi melalui fakta, kejujuran dan dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Terdahulu, seorang individu mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh membantu mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.


Shamsul menafikan tuduhan individu bernama Albert Tei itu dengan menegaskan ia merupakan fitnah dan konspirasi jahat yang disasarkan terhadapnya untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.


Sementara itu Mustapha menerusi kenyataan sama memuji keputusan Shamsul Iskandar meletakkan jawatan susulan dakwaan tersebut dengan menyifatkan tindakan itu selari dengan prinsip Kerajaan MADANI yang mengutamakan integriti, ketelusan dan tatakelola yang baik.


Mustapha juga menyatakan pendirian KEADILAN Sarawak yang menyokong pendirian Perdana Menteri bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan mana-mana pihak.


"Ini membuktikan bahawa tiada sesiapa dalam kerajaan kebal daripada proses undang-undang dan semua tuduhan mesti disiasat dengan adil serta profesional.


"SPRM harus diberikan ruang sepenuhnya untuk menyelesaikan siasatan mengikut prosedur tanpa tekanan politik—ini ialah asas kepada reformasi institusi yang telah lama diperjuangkan," tambahnya.


Ahli Parlimen Sepanggar itu turut menyatakan komitmen KEADILAN Sabah untuk terus memperjuangkan agenda reformasi, mengangkat suara rakyat, serta memastikan Sabah menikmati pemerintahan yang bersih, stabil dan bertanggungjawab.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page