top of page

Menjejaki Pelajar Berisiko Cicir SPM 2025 di Tanjung Sedili

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 5 min read

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Felcra, Noraini Nordin (duduk, kiri sekali) berbincang bersama guru guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar mengenai nasib pelajar keciciran SPM 2025
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Felcra, Noraini Nordin (duduk, kiri sekali) berbincang bersama guru guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar mengenai nasib pelajar keciciran SPM 2025

Oleh: Noraini Nordin


(Yang menyertai Siri Jelajah Seminar 'Kuasai Teknik, Juarai SPM' Anjuran Yayasan FELCRA 2025)

ULASAN: Berderau darah saya apabila dimaklumkan bahawa seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di sebuah sekolah di Tanjung Sedili, Johor tidak hadir ke sekolah sudah lebih sebulan atas alasan menjaga bapanya yang sakit. Sedangkan peperiksaan SPM akan berlangsung pada awal November ini.


Perbualan yang awalnya `santai- santai’ sambil menikmati sajian tengah hari bersama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar, Amdan Embong bertukar serius. Ini kerana isu pelajar berisiko cicir SPM bukanlah `hal remeh’ apatah lagi jika kita `terlepas pandang’ serta tidak mengambil usaha membantu pelajar-pelajar tersebut.


Keciciran SPM serius


Pada 13 Febuari 2025 media-media tempatan telah melaporkan :


"Seramai 8,076 calon SPM 2024 tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis"

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen pula telah memaklumkan daripada jumlah tersebut seramai 6,231 adalah calon-calon sekolah kementerian itu sendiri.

Menurut KPM, berdasarkan analisis Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, antara sebab utama ketidakhadiran calon SPM tersebut termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara.


KPM telah melaksanakan beberapa langkah intervensi seperti memantau kehadiran murid secara harian, mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM serta melibatkan ibu bapa dan komuniti dalam usaha memastikan kehadiran calon menduduki peperiksaan SPM.


Pada 27 Mei 2025 pula, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan KPM akan melaksanakan intervensi mengesan calon tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki SPM secara ulangan.


Aduhai… Bagaimana mungkin saya mahu bertangguh lagi apabila dimaklumkan oleh Pengetua bahawa ada pelajarnya tidak hadir ke sekolah sedangkan murid itu adalah calon SPM tahun ini.


Terpaksa mengurus ayah, rumah


Alasan tidak hadir ke sekolah kerana menjaga bapanya yang tidak sihat.


Pelajar perempuan itu juga terpaksa menguruskan rumah termasuk memasak setelah ibunya meninggal dunia. Manakala adik lelakinya juga tidak bersekolah sejak lebih sebulan yang lalu.

Noraini merasmikan seminar anjuran Yayasan Felcra
Noraini merasmikan seminar anjuran Yayasan Felcra

Saya juga dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa dua beradik ini adalah murid yang cerdas dan cerdik serta bukanlah pelajar `bermasalah’.

Sebelum ini pihak sekolah sudah berusaha namun pelajar tersebut masih lagi tidak hadir ke sekolah atas alasan yang sama.

Remaja tidak boleh dibiar bersendirian


Naluri keibuan saya tidak mampu bertahan lagi untuk segera menjejaki dua beradik tersebut bagi membantu apa yang diperlukan.


Apatah lagi apabila mengenangkan nasib dan masa depan pelajar tersebut jika tercicir daripada menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.


Tidak selayaknya remaja tersebut berdepan dengan kemelut hidup dan dibiarkan mengharungi masalah bersendirian.


Sudah pasti saya akan `dihantui perasaan’ sekiranya ada calon-calon SPM 2025 tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut dan dibiarkan terkapai-kapai tanpa hala tuju kehidupan.


Sebelum terlambat tindakan mesti dilakukan demi masa depan pelajar tersebut.


Yang melihat tidak boleh `menutup mata’ yang mendengar tidak boleh `menutup telinga’. Begitulah harapan dan keazaman saya kepada dua beradik itu. Apapun yang melanda mereka mesti bersekolah semula dan segala masalah dirungkai bersama.


Saya diundang ke sekolah tersebut untuk merasmikan program Siri Jelajah Seminar `Kuasai Teknik, Juarai SPM’ anjuran Yayasan FELCRA 2025.


Program tersebut diadakan di Dewan Tertutup SMK Tan Sri Jaafar Albar pada 11 September 2025 lalu yang melibatkan 140 calon SPM tahun ini daripada sekolah tersebut.


SMK Tan Sri Jaafar Albar, Tanjung Sedeli, Johor merupakan sekolah yang ke tujuh dikunjungi oleh Yayasan FELCRA dalam siri jelajah ke 40 buah sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


Kebiasanya, setelah meraikan calon-calon SPM 2025 yang menghadiri program tersebut saya serta pasukan akan menziarahi calon-calon yang tidak dapat menyertai program itu kerana sakit atau sebagainya (seandainya ada dilaporkan kepada kami).


Kisah Siti dan Amin


Aroma bau ikan masin yang sedang digoreng dari dapur menandakan rumah yang sepi itu masih berpenghuni.

Noraini bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Qaseh Johor Bahru, Zuraidah Zainab Mohd Zain
Noraini bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Qaseh Johor Bahru, Zuraidah Zainab Mohd Zain

Berkali-kali kami memberi salam akhirnya disahut halus oleh Amin (bukan nama sebenar) yang kelihatan `malu-malu’ menyambut kami.


Amin adalah pelajar tingkatan dua SMK Tan Sri Jaafar Albar. Manakala kakaknya Siti (bukan nama sebenar) juga bergegas menyalami kami. Terasa getaran tangan remaja ini yang mungkin terkejut sewaktu menyalami saya . Kunjungan kami yang pastinya tidak dijangka.


Kami memahami perasaan anak-anak yang naif ini. Apatah lagi melihat guru-guru mereka turut bersama dalam kunjungan ini. Pasti perasaan mereka bercampur baur.


Melihat air mata dua remaja yang deras mengalir dan tunduk mencium tangan kami dapat dimengertikan betapa mereka juga rindu untuk kembali semula ke sekolah.


Si bapa juga turut mengesat air mata tanda sebak yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.


Walaupun pertemuan pada awalnya agak kaku namun akhirkan dapat diserasikan dengan pantas. Bagi saya tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan kerana semuanya ikhlas serta berniat baik.


Guru-guru SMK Tan Sri Jaafar Albar yang berhati mulia yang sentiasa peka dan berlapang dada untuk membantu murid-murid khasnya seperti kes Siti dan adiknya Amin.


Pengetua sekolah yang amat memahami serta bertanggungjawab menjalankan amanah itulah kunci utama kepada penyelesaian `masalah’ demi masa depan dua pelajar tersebut.


Akhirnya kemelut dapat dirungkai. Untuk menawan semula jiwa dua remaja ini tidak memerlukan diskusi akademik rasmi. Kami datang bukan mahu menghukum atau menunding jari. Melihat wajah polos kedua beradik ini membuat saya sebak. Jiwa anak-anak ini pasti diselimuti duka, perit dan pilu. Bergelut dengan kesempitan bukan sahaja material tetapi juga ketandusan kasih sayang.


Bagi membasahkan semula semangat anak-anak ini mesti menggunakan kaedah sentuhan keibuan. Ayat memujuk juga mesti sesuai dengan suasana serta `kesakitan’ yang mereka lalui.


Sesi memujuk mesti dilakukan dengan penuh kasih sayang. Menyentuhi fizikal juga mesti berhati-hati kerana keduanya masih kaku dan agak sensitif. Mereka mesti diyakini dan dirangsang semula untuk meneruskan persekolahan hingga ke titik akhir.


Walaupun tidak banyak dialog antara kami namun segalanya lancar. Dalam tempoh kurang 30 minit saya dapat menyelam lubuk jiwa anak-anak ini.


Kata sepakat berjaya dicapai bersaksikan bapa pelajar tersebut serta para guru yang bersama kami. Semua sepakat untuk membantu bagi memastikan dua beradik ini dapat kembali semua menjadi murid sekolah tersebut.


Hadiah SARA pembangkit semangat


Tengahari tadi (12 September 2025) saya kembali semula ke rumah remaja ini untuk melihat perkembangan mereka.


Sebelum itu saya singgah ke SPEED 99 di Bandar Penawar, Kota Tinggi untuk menggunakan wang bantuan SARA dan barangan tersebut dihadiahkan kepada mereka. Kali ini saya hanya ditemani oleh Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Qaseh Johor Bahru, Zuraidah Zainab Mohd Zain. Kami berdua mahu menyantuni sekali lagi anak-anak ini dengan cara tersendiri.

Misi khas dijayakan bersama kakitangan Yayasan Felcra dan guru-guru SMK Tan Sri Jaafar Albar
Misi khas dijayakan bersama kakitangan Yayasan Felcra dan guru-guru SMK Tan Sri Jaafar Albar

Lega hati saya. Wajah kedua beradik ini sudah mula ceria. Kedua mereka sudah mula mesra dengan kami. Kali ini mereka menjawab pertanyaan dengan lebih yakin dan lancar. Amin bergegas ke dapur menghidangkan teh dan biskut untuk kami.


Kedua beradik ini juga sudah bersedia dengan buku-buku serta seragam sekolah mereka. Seragam sekolah juga sudah siap digosok rapi dan digantung di ruang tamu.


Dalam masa yang sama, sempat saya melihat pelbagai medal dan piala kedua pelajar ini. Ternyata keduanya aktif sejak di bangku sekolah rendah lagi.


Alhamdulilah .. Kedua mereka semakin teruja untuk kembali ke sekolah. Siti juga bersemangat untuk mengambil peperiksaan SPM tahun ini. Sudah pasti kami semua mendoakan anak-anak ini berjaya dan cemerlang di dunia serta akhirat. Begitu juga doa terbaik kami untuk semua calon SPM 2025.


Saya amat berterima kasih kepada semua pasukan yang bersama dalam misi kali ini khasnya kepada kakitangan Yayasan FELCRA Noraini Gino, Faridah Mat Rashid serta pasukan. Setinggi penghargaan juga saya ucapkan kepada pengetua serta guru-guru SMK Tan Sri Jaafar Albar yang sabar, peka dan gigih mendidik pelajar di sekolah tersebut.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada sahabat saya Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Traning & Consultancy, Zuraidah Zainab Mohd Zain yang turut bersama mengikuti program ini daripada Melaka sehingga ke Johor.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page