Menjaga Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
ULASAN: Selama 446 tahun negara kita di jajah oleh perakus kuasa. Sejarah telah membuktikan permulaan kejatuhan kerajaan Melaka dan Raja raja Melayu di tangan Portugis dan terakhir British di sebabkan pengkhianatan dan perpecahan dalam kalangan kita sendiri dan perpaduan akibat penentangan terhadap Malayan Union telah mencetuskan kemerdekaan selepas rakyat dan Raja raja Melayu bersatu.
130 tahun ditindas Portugis, 183 tahun Belanda, 183 tahun British (2 kali) dan Jepun 3 tahun 8 bulan menjajah kita dan usia kemerdekaan kita baru hanya mencecah 68 tahun. Apa yang hendak disampaikan di sini kemerdekaan kita amat muda sekiranya dibandingkan dengan tempoh kita dijajah. Pengorbanan pejuang dahulu amat panjang dan wajib dipelihara dan di kekalkan.

Menjaga kemerdekaan negara adalah tanggungjawab bersama setiap warganegara. Kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan untuk membina negara yang aman, maju dan bermaruah. Berikut merupakan kepentingan menjaga kemerdekaan negara:
1. Menjamin kedaulatan negara
Tanpa penjajahan, negara bebas membuat keputusan sendiri.
Pemerintahan dapat dijalankan mengikut acuan dan kepentingan rakyat tempatan.
2. Menjamin keamanan dan kestabilan
Negara yang merdeka bebas dari ancaman luar.
Keamanan membolehkan rakyat hidup dengan tenteram dan menjalani kehidupan harian tanpa rasa takut.
3. Meningkatkan pembangunan negara
Kemerdekaan membolehkan kerajaan melaksanakan dasar ekonomi, pendidikan dan sosial mengikut keperluan rakyat.
Ini menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan kemajuan teknologi.
4. Menjaga identiti dan jati diri bangsa
Kemerdekaan membolehkan rakyat mengekalkan bahasa, budaya dan agama masing-masing.
Warisan bangsa dapat dipelihara tanpa pengaruh asing yang boleh melunturkan nilai-nilai tempatan.
5. Menjamin hak dan kebebasan rakyat
Rakyat bebas bersuara, beragama, dan menyertai politik.
Hak asasi manusia dijamin di bawah undang-undang negara yang merdeka.
6. Membina semangat patriotisme
Kemerdekaan menanamkan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap negara.
Warganegara lebih prihatin terhadap isu-isu nasional dan berusaha untuk mengekalkan keharmonian.
Menjaga kemerdekaan bukanlah tugas kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama. Kita harus menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan dan memastikan negara terus aman, maju, dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Sebagai seorang Muslim, menjaga kedaulatan negara bukan hanya tanggungjawab sebagai warganegara, tetapi juga merupakan tuntutan agama. Islam sangat menekankan nilai keselamatan, keamanan, keadilan dan perpaduan dalam sesebuah negara.
Menjaga kedaulatan negara adalah sebahagian daripada amanah yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim. Ia mencerminkan keimanan, tanggungjawab sosial, dan kesetiaan kepada agama dan tanah air. Negara yang aman dan berdaulat adalah asas kepada pelaksanaan syariat dan kehidupan Islam yang sejahtera.
Sebagai ingatan perjuangan kita masih panjang. Dahulu kita berjuang mempertahankan negara dari penjajah kini lebih berperang demi kuasa sesama sendiri. Ingatlah mempertahankan kemerdekaan amat lebih sukar dari mendapatkannya.
Penulis merupakan mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Selangor
Comments