top of page

Mengundi pilih prestasi, bukan kontroversi – Nurul Izzah

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Nurul Izzah berceramah di Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Tokong Si Thian, malam tadi
Nurul Izzah berceramah di Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Tokong Si Thian, malam tadi

Kurang 48 jam sebelum pengundi Negeri Sembilan membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos, Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa rakyat menolak politik kontroversi dan memilih kerajaan yang terbukti berkhidmat.


Beliau menegaskan Negeri Sembilan mesti terus dipimpin oleh Datuk Seri Aminuddin Harun berdasarkan prestasi dan kestabilan pentadbiran.


"Pengundi kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan pentadbiran yang telah menunjukkan hasil sepanjang tempoh pemerintahan Pakatan Harapan (PH).


"Setiap pengundi perlu fokus untuk mengekalkan Aminuddin yang sejak awal bertungkus-lumus bersama pasukan PH untuk memberikan khidmat dan hasil terbaik buat Negeri Sembilan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada Suara Keadilan selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Tokong Si Thian malam tadi.


Di kawasan Parlimen Kuala Pilah, Pakatan Harapan mempertaruhkan lima calon iaitu Mohd Aidil Abdullah (DUN Juasseh), Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (DUN Seri Menanti), Hanis Alimin (DUN Senaling), Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (DUN Pilah) dan Zailan Munawar (DUN Johol).


Kelima-lima mereka membawa misi mempertahankan serta memperkukuh penguasaan PH di Parlimen Kuala Pilah pada PRN Negeri Sembilan 2026.


Nurul Izzah berkata Aminuddin telah menunjukkan sikap menghormati institusi diraja dan memilih untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran berbanding permainan politik.


"Beliau dari awal menghormati institusi diraja dan melakukan sedaya mungkin untuk fokus kepada mentadbir, bukan berpolitik," katanya.


Beliau menegaskan rakyat wajar membuat pilihan berdasarkan prestasi, komitmen dan masa depan negeri, bukannya dipengaruhi polemik yang dibangkitkan sepanjang kempen.


"Di kala satu demi satu pendedahan berlaku, akhirnya kita mahu rakyat memilih berdasarkan prestasi dan komitmen untuk masa depan Negeri Sembilan," katanya.


Mengulas sambutan sepanjang siri kempen, beliau berkata kekuatan PH masih terletak pada calon tempatan yang dekat dengan rakyat dan mempunyai rekod khidmat di kawasan masing-masing.


"Saya rasa kekuatan masih lagi terletak kepada calon tempatan. Kayu ukurnya ialah sejauh mana calon tersebut berkhidmat," katanya.


Beliau turut mengakui populariti Menteri Besar memberi kelebihan kepada PH dalam usaha memaksimumkan sokongan pada saat-saat akhir kempen.


"Sambutan itu memang ada. Yang penting pada hari mengundi nanti, jangan kita diheret dengan sebarang permasalahan atau provokasi," katanya.


Nurul Izzah juga mengingatkan penyokong PH supaya terus berkomunikasi dengan pengundi dan tidak membiarkan fakta dimanipulasi.


"Apa yang kita cakap itu benar, tetapi kadang-kadang dimanipulasi sebagai sesuatu yang palsu. Saya berharap kebenaran sebenar itu yang akhirnya terserlah dan dilihat oleh rakyat," katanya.


Beliau berkata PH telah menampilkan pelbagai tokoh dan wajah sepanjang kempen, namun tumpuan akhir tetap diberikan kepada calon tempatan yang telah berbudi kepada masyarakat.


"Biarlah mereka menjadi tumpuan. Akhirnya rakyat akan memilih calon yang dekat dengan mereka dan memahami keperluan negeri ini," katanya.


Beliau berharap semua pengundi yang layak keluar mengundi pada 1 Ogos bagi memastikan kesinambungan pentadbiran PH di Negeri Sembilan dapat dikekalkan.


Sepanjang hari ini, Nurul Izzah mengharungi jadual kempen yang padat di Negeri Sembilan dengan memulakan siri program menerusi Forum Adat Merentas Zaman di Seri Menanti sebelum menghadiri satu perjumpaan tertutup di Seremban.


Beliau kemudian meneruskan kempen ke DUN Juasseh untuk menyantuni masyarakat Orang Asli dalam Program Jalinan Kasih Masyarakat Asal sebelum mengakhiri jadual hari itu pada sebelah malam dengan menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Tokong Si Thian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page