Mengenang Tun Abdullah Badawi: Dari Islam Hadhari ke Malaysia MADANI
- Suara Keadilan
- Apr 15
- 1 min read

Oleh: Sandy Zaliu
Negara berselubung duka dengan pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima (2003 - 2008). Sosok yang dikenali sebagai Pak Lah ini bukan sekadar pemimpin negara, tetapi seorang negarawan berjiwa halus yang membawa pendekatan politik damai dan berakhlak tinggi.
Beliau memperkenalkan gagasan Islam Hadhari yang meletakkan nilai-nilai Islam sebagai asas kepada pembangunan negara. Islam Hadhari merupakan kerangka yang menekankan keseimbangan antara rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi, kemajuan dan akhlak.
Ia adalah usaha beliau dalam membina tamadun yang berakar kepada prinsip keadilan, ilmu, ekonomi seimbang, dan penghormatan terhadap kepelbagaian.
Gagasan Malaysia Madani
Hari ini, semangat itu diteruskan dalam gagasan Malaysia MADANI. Di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kesinambungan nilai seperti keadilan, hormat, kesejahteraan dan keberdayaan rakyat kembali menjadi nadi dalam pentadbiran negara.
Malaysia MADANI merupakan manifestasi cita-cita yang pernah disemai Pak Lah namun didatangkan dalam bentuk yang lebih lengkap dan bijaksana oleh pentadbiran Kerajaan Madani.
Pak Lah mengajar kita bahawa kepimpinan tidak perlu garang. Dengan suara yang lembut dan jiwa yang tenang, beliau memperkukuh institusi dan mengangkat darjat perkhidmatan awam. Dalam dunia yang semakin keras, pendekatan beliau menjadi peringatan bahawa kemanusiaan adalah inti sebenar kekuasaan.
Al-Fatihah buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Dalam setiap langkah menuju negara MADANI, kita akan terus mengutip pengajaran daripada pemerintahan beliau sebagai pedoman dalam membina Malaysia yang lebih adil, bermaruah dan bersatu.
Comments