Mengapa PM Anwar Perlu Dikekalkan
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 4 min read

Oleh: Shahbudin Hj Embun
ULASAN: Dalam keghairahan pihak pembangkang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) turun dari teraju pemerintahan, menjelma juga pelbagai naratif dan suara-suara yang tetap mahukan PMX dikekalkan. Mereka yang menyokong PMX serta Kerajaan Madani yang dipimpinnya tidak nampak akan sebarang sebab mengapa rakyat negara ini boleh terpengaruh dengan usaha pihak pembangkang yang mahukan PM turun.
Berdasarkan pada ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh pihak pembangkang, merea hanya memberi sebab sebab yang terlalu umum, tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang menguatkan apa yang dilaungkan. Contohnya dalam setiap ceramah, sering dikatakan harga barang makanan semakin naik dan rakyat hidup menderita. Hakikatnya barang-barang asas keperluan semuanya terkawal dan tidak ada masalah serius yang berlaku.
Apa yang pasti, pihak pembangkang hanya mahu menjadikan perhimpunan 26 Julai ini sebagai satu gimik politik semata-mata. Mereka mahu mengingatkan rakyat di negara ini yang pihak pembangkang - yang boleh dianggap sebagai pembangkang paling lemah dalam sejarah Malaysia - masih lagi relevan, khasnya di hati para penyokong mereka.
Tambahan lagi, pada tahun ini juga beberapa pemimpin besar mereka akan dibicarakan di mahkamah. Itu sebabnya golongan ini begitu terdesak untuk menjatuhkan kerajaan. Malang bagi mereka, kerajaan Madani terus kukuh dan mendapat sokongan yang kuat di Parlimen.

Segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang sebenarnya sudah mula dijawab khasnya di media sosial. Sungguhpun begitu, sebagai penyokong PMX dan yang mahukan Kerajaan Madani terus stabil dan utuh, kita perlu lebih bekerja keras dan agresif agar segala jawapan kepada fitnah ini dapat dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia.
Jadi persoalannya, mengapakah PMX harus dikekalkan? Berikut ialah beberapa fakta yang saya dapat kumpul daripada media massa dan juga media sosial, yang sekaligus membuktikan juga bahawa masyarakat kita masih mahukan PMX dikekalkan.
Cabaran ekonomi global
Malaysia serta negara negara Asean sedang menghadapi cabaran ekonomi seperti tarif timbal balas yang dilaksanakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas negara di rantau ini.
Kerajaan yang stabil sebagaimana Kerajaan Madani hari ini pastinya akan terus berusaha untuk memastikan ekonomi negara sentiasa kukuh. Beberapa laporan ekonomi, baik dari dalam negeri mahu pun dari luar negara telah menguatkan lagi bukti dan fakta bahawa Malaysia kini berada di landasan yang betul.
Pengaruh PMX di luar negara dan keyakinan pemimpin kuasa kuasa besar terhadap PMX akan sentiasa membolehkan Malaysia mendapat peluang untuk terus bersaing dalam ekonomi global yang mencabar.
Usaha PMX bantu rakyat berterusan
Antara usaha dilakukan ialah memperkenalkan sistem subsidi bersasar demi melindungi golongan rentan tanpa membebankan fiskal negara. Menstruktur semula cukai untuk memastikan hasil negara tidak terus bocor. Melaksanakan transformasi Parlimen dengan pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi memulihkan kebebasan institusi.
PMX juga berusaha menamatkan monopoli kroni dalam pelbagai sektor, termasuk digital, makanan dan logistik. Memperkenalkan kerangka dasar sosioekonomi RMK13 dengan libat urus ratusan NGO, pakar dasar dan akar umbi, satu langkah demokratik yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Skim Sumbangan Tunai Rahmah pula disasarkan kepada B40 dan M40 bukan “pengagihan semata-mata” — ianya bersandarkan data bersepadu PADU yang meningkatkan ketelusan dan keberkesanan. Program seperti Menu Rahmah, Skim Perumahan MADANI dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) adalah bukti tindakan nyata usaha PM, bukan retorik.
Terus berjuang pastikan rakyat terbela
Kita sedia maklum PMX ialah seorang pemimpin yang bekerja keras tanpa mengira waktu. Semuanya itu dilakukan demi rakyat. Dia pernah berjanji akan terus berjuang untuk rakyat dan inilah yang dia sedang lakukan.
PMX menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatan seperti didesak oleh segelintir pihak, selagi tidak terbabit dengan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
Kerajaan tidak lokek beri insentif
Kerajaan MADANI sedang bekerja keras untuk menangani masalah kos sara hidup. Pelbagai inisiatif sedang dan telah dilaksana termasuk peningkatan gaji minimum, bantuan kepada pesawah miskin, peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penambahan perumahan mampu milik untuk golongan B40 serta penambahbaikan skim gaji penjawat awam.
Sememangnya banyak lagi yang perlu dilakukan, dan pastinya tidak mampu menyelesaikan semua permasalahan negara dalam namun kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.
Kestabilan pembangunan Islam
Di bawah Kerajaan Madani pelbagai program Islam diimarahkan dengan begitu subur sekali. Kerajaan MADANI terus komited menyokong kajian dan penyelidikan serta membenarkan ekonomi Islam dan instrumen Islam diamalkan, disokong dan diperluaskan.
Inflasi terkawal
Kerajaan akan menguruskan ekonomi negara secara serius termasuk berusaha memastikan kadar inflasi kekal rendah bagi meringankan beban rakyat. Kadar inflasi negara ketika ini pada kadar dua peratus adalah antara yang terendah berbanding dengan beberapa negara lain yang lebih tinggi.
Komited lawan rasuah
Kerajaan MADANI amat komited menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa tetapi pembaharuan untuk memerangi ancaman ini akan memerlukan sedikit masa untuk mencapai hasil. Usaha ini yang buatkan pihak pembangkang tidak boleh tidur. Jika mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, maka tidak ada yang perlu dibimbangkan.
Koalisi, persefahaman kerajaan jamin kestabilan
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara pakatan unik antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN), serta sokongan padu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti lain usai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022 telahn meraih kepercayaan majoriti rakyat.
Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai anjakan dan reformasi untuk memandu Malaysia ke landasan pengukuhan daripada pelbagai sudut terutama pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi.
PMX perlu teraju kerajaan hingga habis penggal
PMX telah membuktikan beliau berkemampuan memacu dan memimpin Malaysia ke persada antarabangsa, di kenali di serata dunia, sebagai sebuah negara yang semakin maju dan boleh berbangga dengan kestabilan politik menerusi Kerajaan Madani.
Malaysia berada pada landasan tepat dan selesa daripada sudut pertumbuhan ekonomi dan keyakinan itu dicantikkan dengan misi reformasi ekonomi yang digariskan Kerajaan Madani.
PMX merupakan seorang yang sangat berani menongkah arus dan berfikiran di luar kotak. Rasionalisasi subsidi yang sudah dibincangkan kerajaan-kerajaan sebelum ini misalnya tidak dilaksanakan kerana bimbang tanggapan negatif rakyat.
Namun ketokohan PMX berjaya menarik keyakinan pelabur luar, dan meningkatkan kepercayaan terhadap prospek ekonomi Malaysia dan sehingga berjaya melaksanakan polisi menguntungkan rakyat biasa.
Penulis merupakan Pengerusi Biro Kepimpinan Dan Pentadbiran Negara MPM