Mengapa pihak tertentu jadi juara isu melibatkan kaum, bukan keadilan?
- Suara Keadilan
- Apr 4
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang selama ini menjadi 'juara' dalam isu melibatkan perbezaan kaum atau agama, namun dikatakan berdiam diri dalam kes pemandu wanita Melayu ditumbuk oleh seorang lelaki Melayu di Jalan Persiaran Senawang 4, di Seremban pada 29 Mac lalu.
''Apabila berlaku insiden kecederaan seorang wanita (lebam dan bengkak) akibat dipukul oleh individu yang mana keluarganya dilanggar, kita tidak pula mendengar suara-suara tokoh agama atau pemimpin yang selama ini juara dalam isu-isu melibatkan perbezaan kaum atau agama.
''Tidak seperti isu KK Mart atau isu kuil Hindu dan Masjid MADANI baru-baru ini, (tetapi) insiden kecederaan yang melibatkan kaum yang sama (sesama Melayu) tidak sangat disentuh.
''Sedangkan insiden tersebut melibatkan akhlak dan masyarakat Malaysia terutama orang Melayu yang semakin hilang sikap sabar dan toleransi,'' tempelak beliau menerusi satu kenyataan.

Menurut Faiz, meskipun pemandu itu bersalah kerana melanggar, namun tiada sesiapa yang berhak meletakkan undang-undang di tangan sendiri, malah tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang sehingga boleh mencederakan pihak yang dianggap mencederakan orang lain.
Hal itu katanya kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai sistem pentadbiran dan hal ehwal hidup rakyat yang dipandu dan ditetapkan oleh undang-undang.
''Atas alasan ini, Rukun Negara meletakkan rukun-rukun penting gagasan dan teras Malaysia iaitu kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.
''Justeru, amat penting dalam kita memberikan komen dan pandangan mesti berpaksikan prinsip keadilan dan bukannya sentimen perkauman atau agama,'' ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Faiz menyifatkan, partinya iaitu AMANAH membawa perjuangan Islam berpandukan kesesuaian (waqi’) Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
Beliau berkata AMANAH memilih prinsip keadilan dan sederhana, malah menolak emosi yang mengapikan sentimen perkauman dan agama dalam sesuatu isu.
''Atas dasar universal ini, yang turut dibawa banyak gerakan Islam negara lain, dasar rahmatan lil a’lamin (RLA) menjadi tunjang perjuangan AMANAH.
''Walaupun ada pihak yang mempertikaikan dasar RLA kononnya sedikit lunak dengan kaum lain, tetapi AMANAH tetap yakin dasar perjuangan berteraskan nilai sederahana dan toleransi itu sangat dituntut Islam dalam membina perpaduan kaum dalam negara ini.
''Perpaduan kaum adalah kunci utama tatakelola baik, pemulihan ekonomi dan kemajuan negara ini,'' kata beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Comentários