Kembara JOM 2.0 Pantai Timur: KBS perkukuh agenda belia luar bandar
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh agenda pemerkasaan belia luar bandar melalui Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Pantai Timur.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, program selama tiga hari di Kampung Orang Asli Sungai Dua Hulu, Karak, Pahang itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
"Zon Pantai Timur merupakan siri keempat daripada enam zon pelaksanaan Kembara JOM 2.0 yang berlangsung dari Julai hingga November 2025.
"Program ini menghimpunkan ratusan belia termasuk komuniti Orang Asli dan masyarakat setempat, dengan matlamat memperkukuh jaringan sosial, kepimpinan dan penglibatan aktif belia dalam pembangunan komuniti.
"Ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi mencerminkan sinergi strategik memperkukuh ekosistem pembangunan belia luar bandar secara inklusif dan bersepadu," kata kenyataan itu.
Antara pengisian utama ialah sesi Townhall bersama Timbalan Menteri, perkhemahan belia, ziarah kasih, penyerahan bakul makanan, serta latihan kemahiran (TVET) untuk belia Orang Asli bagi melahirkan tenaga kerja kompeten dan berdaya saing.

Aktiviti komuniti seperti gotong-royong, penanaman pokok, plogging dan tarian tradisi Sewang turut diadakan bagi menyemai semangat perpaduan dan kekitaan.
"Kembara JOM turut menjadi platform memprofilkan belia luar bandar, mendorong penubuhan persatuan belia baharu serta mengumpul data sosioekonomi sebagai asas perancangan dasar pembangunan belia negara.
"KBS akan terus melaksanakan siri Program Kembara JOM bagi memastikan suara, aspirasi dan keperluan belia akar umbi didengari, dihargai serta diterjemahkan dalam dasar pembangunan belia yang berteraskan nilai-nilai MADANI," tambah kenyataan tersebut.









Comments