Sikap pemimpin Umno yang riuh rendah menyerang hakim hakim mengendalikan rayuan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak di Mahkmah Persekutuan sehingga mencemar reputasi institusi kehakiman tetapi diam dalam hal skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dibidas supremo DAP, Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sinis dengan tingkah laku pemimpin Umno, terutama bekas Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang membuat keputusan menukar reka bentuk kapal dari Sigma ke Gowind dan membisu tanpa sebarang penjelasan sehingga ke hari ini, tetapi bersuara pula dalam kes Najib.
"Sikap tidak peduli pemimpin Umno dan BN terhadap skandal LCS menjadi lebih teruk selepas Kabinet menyahrahsiakan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai perolehan enam LCS yang mendedahkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab ke atas skandal itu, melainkan terdapat “tangan tersembunyi” di sebalik Zahid.
"Jadi, adakah “tangan tersembunyi” ini dan siapakah dia?
"Bolehkah Zahid menjelaskan mengapa dia berdiam diri mengenai skandal LCS yang telah mendedahkan penafiannya sebelum ini bahawa dia tidak bertanggungjawab ke atas skandal tersebut sebagai satu penipuan," kata Kit Siang dalam satu kenyataan.
Pembohongan itu, tegas beliau timbul dalam laporan JKSTUPKK mendedahkan Zahid sebagai Menteri Pertahanan pada 2011 memihak kepada kontraktor, Boustead Naval Shipyard (BNS) dan bukannya pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pengguna akhir keenam-enam LCS yang ditempah
Kita Siang mencabar Zahid menjelaskan kegagalannya untuk mengutamakan TLDM dalam memilih reka bentuk kapal tersebut, mengapa dia memilih LCS Gowind yang mengubah keputusan awalnya bersetuju dengan rekabentuk Sigma seperti yang dicadangkan oleh pihak TLDM tanpa merujuk atau berbincang terlebih dahulu dengan pengguna akhir.
"Di penghujung laporan ini, dilampirkan surat permohonan bertarikh 8 Julai 2010 dari pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor kepada Zahid untuk mendapatkan surat niat (LOI) dari kerajaan untuk projek LCS.
"Di bahagian atas surat terdapat tandatangan, cop, dan arahan tulisan tangan yang berbunyi “Sila laksanakan”.
"Menurut Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, situasi di mana kontraktor dapat memilih reka bentuk dan bukannya pengguna akhir, tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Selain itu, Kit Siang juga mempertikaikan tiga tuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang tidak mempunyai kaitan dengan skandal LCS tetapi digembar gemburkan media pro kerajaan sebagai bersangkutan kes berkenaan
Katanya, ketiga-tiga dakwaan tersebut adalah kes sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) untuk perolehan LCS yang dikeluarkan pada 16 Disember 2011.
"Memandangkan ketiga-tiga dakwaan terhadap Ramli adalah untuk perkara sebelum pengeluaran LOA LCS, perkara ini bermakna dakwaan itu untuk perolehan ketenteraan yang berbeza.
"SPRM perlu menjelaskan mengapa selepas 10 tahun mereka gagal membawa satu pun pertuduhan dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion ini.
"Bolehkah SPRM menjelaskan berapa ramai yang akan didakwa berkenaan dengan skandal LCS yang melibatkan RM9 billion?" tanyanya.
Kit Siang turut mempersoalkan kenyataan Menteri Pertahanan semasa Datuk Seri Hishamuddin Hussein selepas mesyuarat Kabinet baru baru ini berkata pembinaan kapal LCS 1 tidak akan melibatkan dana baharu dari kerajaan.
Namun, katanya, Hishamuddin tidak menjawab soalan mengapa Kementerian Pertahanan mengubah dari dua buah LCS yang perlu disiapkan kepada hanya sebuah, sebelum kerajaan meneruskan projek berkenaan.
"Semasa Hishammuddin hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 25 Januari lalu, dia bercakap mengenai “penstrukturan semula” kontrak LCS yang bernilai RM9 bilion dan pihak kontraktor, BNS perlu menghantar dua buah LCS tanpa sebarang kos tambahan kepada kerajaan.
"Namun, soalan yang lebih penting sama ada kontraktor telah bersetuju untuk menyiapkan kapal tempur pesisir yang pertama (LCS 1) tanpa melibatkan dana baharu dari kerajaan," katanya lagi.
Kit Siang menyindir agar Hishamuddin mempunyai ingatan lebih kuat kerana pada era teknologi maklumat amalan di mana Menteri dan pemimpin politik boleh menyorok dan mengabaikan keterangan atau kenyataan yang telah diberi tidak boleh dilakukan, kerana kenyataan mereka boleh dicari dengan mudah di internet.
Comments