top of page

Mengapa guna dana KWAN, mana pergi peruntukan RM3 bilion beli vaksin?



Penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang ditabung dari hasil petroleum untuk generasi masa hadapan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membeli vaksin Covid 19 dikecam rakyat.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, dana KWAN tidak wajar disentuh kerana Parlimen pada tahun lalu telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk pembiayaan pembelian vaksin.


"Saya ingin bertanya dua soalan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di luar Parlimen, kerana Parlimen telah digantung sejak 11 Januari 2021. Soalan pertama, di manakah perginya Tabung Covid-19 yang telah diuntukkan sebanyak RM55 bilion, iaitu RM38 bilion pada tahun 2020 dan RM17 bilion untuk tahun 2021?


"Soalan kedua, tidakkah Parlimen sebelum digantung telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion membeli vaksin. Ke mana pergi duit itu? Adakah RM3 bilion masih tidak mencukupi sehingga duit amanah di dalam KWAN hendak diambil?


"Dana KWAN tidaklah sebanyak duit yang tersimpan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Di dalam KWAN hanya terdapat sebanyak RM16.9 bilion berbanding wang dalam KWSP bernilai beratus bilion ringgit. Itupun, Kerajaan PN tergamak ambil, duit yang dikumpul sedikit demi sedikit dari sumbangan Petronas dan sumbangan dari negeri-negeri yang menerima royalti petroleum?" katanya dalam satu kenyataan.


Dalam hal ini, Hassan terang-terangan menyalahkan saiz kabinet PM Muhyiddin yang terlalu besar sehingga peruntukan sedia ada tidak cukup untuk membayar gaji dan elaun menteri.


Katanya, sekiranya saiz kabinet lebih kecil, banyak wang dapat dijimatkan maka tidak perlu dana KWAN diusik sama sekali.


"Inilah padahnya apabila kerajaan PN sebuah pemerintah yang sangat besar saiz. Bilangan kementerian, menteri dan timbalan menteri mencatatkan rekod paling ramai sejak Malaysia merdeka. Untuk menampung sebuah kerajaan yang “tidak mengukur baju di badan sendiri” maka Kerajaan PN memerlukan perbelanjaan tambahan sebanyak RM7 bilion.


"Jika saiz kerajaan dikecilkan, bilangan menteri dan timbalan menteri dikurangkan maka tidak perlu menyentuh dana KWAN. Wang amanah tersebut adalah untuk generasi akan datang.


"Sejak ditubuhkan pada tahun 1988 dan diurus oleh Bank Negara di bawah Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, wang dalam tabung tersebut tidak pernah disentuh oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini. Kerajaan PN sekarang sepatutnya berasa malu," kata Hassan.


Beliau menyifatkan tindakan kerajaan Muhyiddin kali ini begitu terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi meneruskan hayat pemerintahan.


Menurut Hassan lagi, akhirnya rakyat faham mengapa darurat diisytihar, kerana sekiranya mengikut amalan biasa kerajaan PN akan dituduh pecah amanah mengambil dana KWAN tanpa sebab-sebab yang munasabah.


"Ini semua dapat dilakukan oleh PM Muhyiddin dan Kerajaan PN pimpinannya kerana Parlimen digantung. Ini antara lain sebabnya Darurat disytiharkankan supaya kerajaan PN yang tidak ada mandat dapat memerintah tanpa melalui proses semak dan imbang.


"Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin betul-betul nekad. Betul-betul terdesak tidak ada duit kerana bebelanja boros selama lebih setahun sejak berkuasa pada 1 Mac 2020.


"Untuk mengelak supaya tidak dituduh pecah amanah dan menjarah KWAN, Kerajaan Darurat PN sanggup meluluskan Ordinan Darurat yang baru untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana daripada KWAN itu untuk membeli vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page