Mengapa Anwar Perlu Terus Kekal Sebagai PM
- Suara Keadilan
- Jun 15
- 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ke 10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti tidak diberi peluang untuk menghela nafas kelegaan.
Selain daripada mentadbir dan membetulkan semula pelbagai kesilapan dan kegagalan pentadbiran lama, Anwar teruk dihentam, dikeji, dikutuk oleh musuh dan pihak pembangkang yang sentiasa bertungkus lumus dan bersungguh sungguh mensensasikan sebarang isu asalkan isu tersebut dapat digunakan dan dapat ditunggang untuk memburukkan Anwar dan kerajaan Madani. Maka segala rasa tidak puas hati dikaitkan dengan Anwar.
Tohmahan dan fitnah terus dilemparkan di pelbagai platform di media sosial. Sindiran dan kutukan terus disebarkan dengan meluas tanpa rasa malu dan bersalah. Bagi yang menyebarkan, adalah tidak penting untuk memeriksa kesahihan sesuatu fakta itu. Yang penting ialah sebarkan dahulu. Minta maaf kemudian hari.
Mungkin saya yang tersilap tetapi setiap tohmahan yang berkaitan dengan dasar, program dan perancangan yang dijalankan oleh kerajaan Madani telah dijawab dengan baik melalui tindakan dan kejayaan yang ditunjukkan oleh Anwar dan kebinetnya.
Selepas itu isu berkenaan senyap. Tidak ada kata-kata maaf, apatah lagi pujian dari pembangkang apabila tohmahan yang dilemparkan ternyata tidak mempunyai asas, bahkan telah dibuktikan berjaya dilaksanakan.
Hal ini membuktikan bahawa Anwar dan barisan kabinet lebih mengutamakan tugas dan tanggungjawab yang dipikul dan tidak mempunyai masa untuk melayan perkara remeh temeh yang disensasikan oleh pihak pembangkang.
Desak PM letak jawatan
Baru-baru ini, beberapa pemimpin pembangkang telah mendesak Anwar untuk meletak jawatan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Yusoff Rawther.
Desakan itu ternyata satu kenyataan yang hipokrit kerana golongan ini gagal melakukan hal yang sama ketika pemimpin mereka disiasat dan didakwa.

Kini pelbagai penjelasan telah diberikan di media sosial tentang kes ini dan pihak penyokong Anwar perlu bersatu dalam menangani tohmahan dan fitnah yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang dalam isu tersebut.
Mereka perlu menjelaskan di media sosial mengapa setiap tindakan Anwar perlu dipertahankan supaya Anwar dapat terus memimpin negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke 16 nanti. Hakikatnya Malaysia masih memerlukan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Agenda Malaysia Madani lancar
Setiap perancangan yang berkaitan dengan agenda Malaysia Madani sedang bergerak lancar. Namun ianya masih perlu diterjemahkan dengan jelas dalam dasar dan tindakan, agar rakyat lebih memahami akan usaha yang sedang dijalankan.
Anwar telah beberapa kali menegaskan bahawa beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gangguan atau kompromi, walau apa pun yang berlaku. “Saya komited terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah tadbir urus demokratik”.
Dan sebagaimana biasa, pihak pembangkang terus menunggang pelbagai isu yang boleh ditunggang. Dan kebiasannnya, apabila isu itu senyap ataupun dapat dipatahkan hujahnya, maka golongan ini akan mencari “mangsa” lain pula untuk ditunggang.
Hal ini membuktikan, sehingga kini pihak pembangkang tidak ada isu yang boleh dijadikan sebagai senjata utama mereka. Mereka terpaksa bergantung kepada isu yang remeh temeh dan kemudian disensasikan. Mereka lebih berminat membentuk naratif kebencian dan bukannya mengkritik secara adil dan profesional.
Mungkin disebabkan ini juga, kini terdengar suara suara sumbang dari dalam KEADILAN sendiri yang tidak begitu percaya Anwar akan menjadi Perdana Menteri semula selepas PRU 16 nanti. Mungkin ini adalah suara-suara yang kecewa dengan perkembangan baharu yang berlaku dalam KEADILAN baru-baru ini. Dalam hal ini, masing-masing ada pendirian dan pendapat. Apa yang penting rapatkan semula perhubungan yang tercalar tempoh hari dan kembali bersama berganding bahu membantu dan menyokong Anwar.
Perlu diingatkan bahawa kita semua, rakyat yang menyokong Kerajaan Madani, tidak kira dari mana latar belakangnya, adalah penggerak utama untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU 16, selaras dengan usaha dan kesinambungan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan.
Penulis merupakan Pengerusi Biro Sekreatariat Gerak Gempur MedSos Rakyat SekPur merangkap Pengerusi Biro Kepimpinan serta Pentadbiran Negara MPM
Comments