top of page

Mengapa ahli politik 'penyatuan umat' membisu, tak ulas RCI Tabung Haji?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 23 hours ago
  • 2 min read

BN-PN yang membawa perjuangan 'penyatuan umat' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dicabar bersuara berhubung pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.


Hal ini kerana Kerajaan MADANI telah pun mengotakan janji untuk mendedahkan kepada umum Laporan RCI tersebut sebagaimana dicabar BN-PN sepanjang berkempen di Negeri Sembilan.


Sehubungan itu, Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menempelak kelompok yang membawa naratif penyatuan ummah tetapi tidak mengemukakan komen sejak pendedahan salah tadbir urus dan unsur penyelewengan dalam TH disiar media utama mulai petang semalam.


Menurut Faiz, pendedahan laporan RCI berkaitan pengurusan TH dari tahun 2014 sehingga 2020 merupakan sesuatu yang amat menyedihkan bagi umat Melayu Islam Malaysia.


"Ini adalah kerana Tabung Haji adalah milik orang Melayu Islam yang bekerja keras mencari rezeki untuk menyimpan wang dan Tabung Haji juga adalah syarikat milik Melayu Islam yang cukup maju di dalam dunia.


"Malangnya, ‘penyatuan umat’ membisu dan gagal bersuara membela Tabung Haji dan menentang perlakuan salah pengurusan Tabung Haji ketika pemerintahan Umno dahulu.


"Jelas sekali ‘penyatuan umat’ adalah untuk meraih kuasa dan bukannya membela Melayu dan mengangkat martabat Islam. Islam melarang penyelewengan, tetapi ia bukan perjuangan ‘penyatuan umat’," katanya menerusi kenyataan.


Menurut Faiz lagi, berdasarkan laporan RCI tersebut, pemulihan Tabung Haji dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan 1.0 dan mengiktiraf pelan pemulihan tersebut.


Beliau berkata, ketika pelan pemulihan Tabung Haji dilaksanakan, jawatan Menteri Kewangan disandang oleh Lim Guan Eng daripada DAP.


"Saya menyeru orang Melayu untuk menilai agenda penyatuan umat yang hanya memainkan isu perkauman, sedangkan soal penyelewengan tidak mengenal kaum.


"Walaupun ada ahli politik yang cuba mengalihkan perhatian umum dengan mengatakan bahawa laporan RCI tersebut tidak mendedahkan perlakuan jenayah secara khusus, namun jelas dinyatakan di dalam laporan tersebut berlaku kerugian pelaburan oleh beberapa anak syarikat Tabung Haji yang memerlukan siasatan lanjut oleh pihak Polis dan SPRM yang menunjukkan wujud unsur-unsur jenayah," katanya lagi.


Dalam kenyataan sama, Faiz menambah, RCI tidak mempunyai bidang kuasa bagi mengenal pasti bentuk kesalahan jenayah secara khusus dan siapakah pelakunya kerana hal itu dalam bidang kuasa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Justeru katanya, siasatan mendalam dan segera perlu diambil oleh pihak polis dan SPRM agar keyakinan orang Melayu Islam kepada Tabung Haji dapat dipulihkan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page