Menentang pendudukan haram Israel bukan sekadar kecaman - Dr Maszlee


Penentangan terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin perlu disusuli tindakan antarabangsa yang mempunyai kesan nyata dan bukan sekadar kecaman diplomatik, demikian kata Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata masyarakat antarabangsa mempunyai pelbagai kaedah untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel termasuk memastikan perdagangan, pelaburan dan kewangan tidak memudah cara atau mengaut keuntungan daripada aktiviti penempatan haram.
"Kami mengalu-alukan kenyataan bersama pada 8 September oleh 12 negara Barat dan khususnya langkah Britain, Kanada dan Perancis untuk mengharamkan perdagangan barangan yang berasal dari penempatan haram Israel," katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Maszlee, langkah berkenaan membuktikan masyarakat antarabangsa mempunyai instrumen selain sekadar kecaman diplomatik.
Beliau berkata, selama beberapa dekad, penempatan Israel terus berkembang, tanah Palestin dirampas dan masyarakat dipindahkan walaupun terdapat bantahan berulang kali daripada masyarakat antarabangsa.
"Undang-undang antarabangsa kehilangan maknanya apabila pelanggaran dikecam tanpa sebarang akibat," katanya.
Kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi yang membawa isu konflik Gaza dan ketegangan di Asia Barat dalam perbincangan bersama pemimpin dunia.
Anwar dilaporkan berkata beliau membincangkan perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik dan krisis kemanusiaan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat dengan beberapa pemimpin dunia pada majlis makan malam sempena sidang kemuncak blok ekonomi itu.
Perdana Menteri turut menyeru kesatuan dalam kalangan masyarakat antarabangsa, khususnya pemimpin dunia bagi menghentikan pertumpahan darah dan mencari penyelesaian yang adil serta berkekalan terhadap konflik berkenaan.
Sambil menyokong seruan Perdana Menteri supaya masyarakat antarabangsa mengambil tindakan konkrit terhadap pendudukan haram Israel di wilayah Palestin, Maszlee menegaskan, langkah itu perlu disusuli dengan memperkukuh akauntabiliti.
"Prinsip yang sama mesti diterapkan terhadap Gaza. Akauntabiliti perlu ditegakkan berhubung kemusnahan besar-besaran dan kematian orang awam, selain memastikan akses bantuan kemanusiaan diberikan sepenuhnya tanpa halangan.
"Undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak boleh dilaksanakan secara terpilih berdasarkan pakatan politik atau kepentingan strategik," ujarnya.
Beliau turut mengambil maklum pendirian United Kingdom mengenai status pendudukan Israel yang berterusan sebagai tidak sah di sisi undang-undang, termasuk pengiktirafan terhadap pemindahan penduduk secara paksa dan peningkatan keganasan oleh peneroka di Tebing Barat.
Katanya, perkembangan itu penting kerana ia seharusnya mengubah tindak balas masyarakat antarabangsa daripada sekadar menyatakan kebimbangan kepada tindakan yang berteraskan tanggungjawab dan akauntabiliti.
"Malaysia secara konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta hak mereka kepada sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
"Pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan prinsip tersebut," katanya.
Beliau berkata isu Palestin bukan berkaitan permusuhan terhadap mana-mana kaum atau agama, sebaliknya persoalan sama ada undang-undang antarabangsa terpakai secara sama rata kepada semua pihak.
"Keamanan yang adil dan berkekalan tidak boleh dibina atas pendudukan, perampasan hak dan kekebalan daripada tindakan undang-undang," katanya.
Menurutnya, penyelesaian dua negara yang berdaya maju juga tidak mungkin dapat direalisasikan selagi wilayah Palestin terus berpecah akibat penempatan haram.
"Langkah-langkah yang diumumkan itu dialu-alukan namun ia mesti menjadi permulaan dan bukannya pengakhiran kepada tindakan masyarakat antarabangsa," katanya lagi.




Comments