top of page

Mendepani negeri menua: Selangor kaji peluang kerja warga emas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 1 min read
Anfal dalam sesi pembahasan di Dewan Negeri Selangor. Foto kredit: Kosmo
Anfal dalam sesi pembahasan di Dewan Negeri Selangor. Foto kredit: Kosmo

Kerajaan Selangor terus berusaha memastikan kebajikan golongan warga emas di negeri itu terus diberi perhatian.


Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari memaklumkan, pihaknya kini sedang mengkaji mekanisme bersesuaian untuk membolehkan warga emas terus aktif bekerja selaras dengan persediaan negeri ke arah masyarakat menua.


"Yang Berhormat Pandamaran (Leong Tuck Chee) juga menzahirkan kerisauan berkenaan status negeri Selangor menuju negeri tua dan mencadangkan untuk membenarkan warga emas bekerja. Hal ini amat penting, bahkan telah digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


"Kita sedang mengkaji mekanisme kawalan agar kebajikan warga emas yang bekerja terpelihara. Berkenaan Skim Mesra Usia Emas pula, insya-Allah permohonan akan dibuka dalam suku ketiga tahun ini," katanya dipetik media tempatan.


Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer berkata demikian ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor pada Selasa.


Beliau sementara itu memberi jaminan bahawa langkah yang sedang diusaha Kerajaan Negeri itu tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat golongan pekerja muda.


Dalam pada itu, Anfaal memaklumkan Kerajaan Negeri turut meneliti terhadap cadangan untuk mewujudkan platform padanan penjagaan kanak-kanak atau childcare matching platform.


"Saya juga menyambut baik dan akan mengkaji cadangan untuk kerajaan menyampaikan bantuan melalui ‘single window’, untuk memudahkan akses bagi rakyat yang memerlukan. Langkah-langkah untuk merealisasikan perkara ini sudahpun dimulakan," tambahnya.


Anfaal sementara itu berkata, beliau berharap Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor 2.0 dapat berfungsi sebagai penampan kepada impak krisis ekonomi serta membantu negeri itu muncul lebih kukuh dan berdaya tahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page