Menang PRK Pelangai: Rakyat makin bijak, tidak termakan hasutan
- Redzuan Shamsudin
- Oct 8, 2023
- 1 min read

Kemenangan calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai membuktikan rakyat tidak lagi terpengaruh dengan politik fitnah dan hasutan yang dibawa oleh PN.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, isyarat itu penting kerana telah menunjukkan rakyat terutamanya orang Melayu menyokong Kerajaan Perpaduan.
"Barisan Nasional terus mempertahankan kerusi DUN Pelangai setelah calonnya Datuk Amizar Abu Adam berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 2,949 undi melalui pertembungan tiga penjuru, mengalahkan calon daripada PN dan Bebas.
"Kemenangan calon BN di DUN Pelangai membuktikan rakyat terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh PMX dan menolak politik fitnah yang dimainkan oleh PN sepanjang tempoh waktu berkempen," kata Azha dalam kenyataan.
Tambah Naib Pengerusi Biro Pendidikan AMK Malaysia itu, sikap orang Melayu luar bandar yang mula kritis dan berfikiran terbuka amat penting dalam perang melawan propaganda adu domba PN.
Dalam kempen di PRK Pelangai, katanya, ternyata tohmahan dan fitnah PN telah kembali memakan diri gabungan berkenaan.
"Rakyat semakin bijak menilai dan tidak lagi termakan dengan hasutan yang dilemparkan oleh PN yang terus memainkan isu perkauman sempit dan sensitiviti agama untuk mendapatkan sokongan rakyat.
"Tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh PN akhirnya makan diri," katanya lagi.
Justeru, Azha berharap rakyat terus memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir atas dasar dan komitmen kerajaan dalam melaksanakan perancangan yang telah dirangka.
Katanya, kerajaan akan terus mempertahankan hak dan menjaga kebajikan seluruh rakyat.
Comments