top of page

Menang di Puteri Wangsa satu amanah, masa untuk bekerja - Dr Maszlee

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Jul 12
2 min read
Dr Maszlee (kiri) memulakan 'kerja' sebagai ADUN dengan melawat pasar pagi di DUN Puteri Wangsa
Dr Maszlee (kiri) memulakan 'kerja' sebagai ADUN dengan melawat pasar pagi di DUN Puteri Wangsa

Calon Pakatan Harapan dari KEADILAN yang menang di DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik hari ini menyifatkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah diri.


Maszlee berkata, beliau kini menganggap dirinya sebagai "pekerja rakyat" dan berjanji untuk mula berkhidmat kepada penduduk Puteri Wangsa sebaik sahaja diberi mandat.


"Pagi ini, langkah terasa lebih merendah namun padat dengan kesyukuran.


"Terima kasih Puteri Wangsa atas ruang dan kepercayaan luar biasa ini.


"Mulai saat ini, saya adalah pekerja anda. Mari kita pimpin tangan satu sama lain. Bismillah, masa untuk mula bekerja," katanya dalam hantaran di media sosial.


Dalam satu muat naik beliau berkata, kejayaan merampas kerusi Puteri Wangsa menjadi simbol kepercayaan rakyat yang perlu dihormati.


"Kemenangan di DUN Puteri Wangsa ini hadir dengan satu tanggungjawab yang amat besar. Kekal sebagai satu-satunya wakil Parti Keadilan Rakyat yang memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Johor kali ini bukanlah satu kebanggaan untuk dimegahkan, tetapi sebuah manifestasi kepercayaan yang harus saya junjung dengan penuh insaf," katanya.


Maszlee turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) yang memberikan sokongan sepanjang kempen pilihanraya.


Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain beberapa pemimpin parti termasuk Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Nurul Izzah Anwar, Datuk Dr Fuziah Salleh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Fahmi Fadzil.


Beliau juga menghargai sokongan rakan-rakan pimpinan parti, jentera pilihanraya, ketua-ketua cabang KEADILAN dari pelbagai negeri serta pasukan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.


"Sokongan, bimbingan dan kepercayaan kalian adalah kekuatan saya di sepanjang kempen ini," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page