Gabungan NGO alam sekitar petang ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara membawa tuntutan utama moratorium selama 25 tahun dikenakan ke atas aktiviti pembalakan.
Menurut Presiden pertubuhan Peka Malaysia, Prof Dr Shariffa Sabrina Syed Akil, moratorium sepanjang tempoh itu penting bagi mengembalikan tahap matang balak di hutan Malaysia agar peristiwa banjir besar yang melanda Pahang baru baru ini tidak berulang.
"Ini kali kedua kami daripada pertubuhan pelindung khazanah alam menyerah memorandum meminta kerajaan menukar akta tertentu. Masalahnya setiap kali kami meminta, kerajaan tidak ada maklum balas.
"Apa yang terjadi sekarang dengan banjir, kemusnahan, kalau kita tidak (prihatin) dengan perubahan iklim dan salah satu (punca) adalah pemusnahan hutan yang menyebabkan perubahan iklim.
"Kami minta kerajaan pusat tukar akta sedia ada, kerana kalau (kuasa) hutan di bawah Kerajaan Negeri memang tidak boleh diselamatkan dan kami minta untuk keselamatan generasi akan datang, kita mahu kerajaan pusat meletak moratorium pembalakan selama 25 tahun agar hutan kita hidup balik. Dan yang paling mustahak untuk gazetkan banjaran Titiwangsa. Itu yang paling mustahak," katanya dalam sidang media selesai serahan memorandum petang ini.
Menurut Sabrina, menggazetkan Banjaran Titiwangsa penting bagi mengelakkan kemusnahan hutan yang berterusan.
"Kalau kita tak gazet Banjaran Titiwangsa kemusnahan hutan tetap akan terjadi setiap hari. Mangsa kematian dalam banjir sangat tinggi dan kita tidak mahu lagi lihat ada kematian kerana banjir atau tanah runtuh.
"Bila kita musnahkan hutan akan terjadi kemarau, tanah runtuh. Banjir yang berlaku tiap tiap tahun jadi temasya. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan," katanya.
Sementara itu, Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, terdapat kira kira 200,000 rakyat yang telah menandatangani petisyen secara atas talian menyokong tuntutan 8 perkara gabungan NGO berkenaan.
Katanya, desakan untuk menghentikan pembalakan adalah serius dan bukan hanya dibuat oleh beberapa NGO sahaja
"Memorandum ini bukan hanya 5 NGO tetapi lebih daripada 200,000 rakyat yang mengundi dalam petisyen online. Mereka bertanya kita apa tindakan selanjutnya.
"Dalam tempoh 2 minggu kita kumpul 200,000 orang mendesak kerajaan menghentikan pembalakan kerana akhirnya orang kampung yang merana kerana banjir, terpaksa beli barang elektrik baru, baiki rumah, jual kereta. Rakyat miskin tanggung akibat.
"Itu sebab penting untuk kita serah memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana itu harapan rakyat. Kita juga bertanggungjawab dengan amanah untuk memastikan ada tindakan selanjutnya dari pihak kerajaan. Mungkin pihak Yang di-Pertuan Agong boleh menasihati pihak eksekutif atau kerajaan untuk menghentikan pembalakan ini dan perbaiki sistem pembangunan," katanya.
Dalam pada itu, wakil NGO Otai Reformis 1998, Razak Ismail mengecam Lembaga Perindustrian Perkayuan Malaysia yang menyatakan negara berjaya mengeksport RM23 bilion nilai balak.
Katanya, wang sebanyak itu tidak boleh ditukar dengan kemusnahan alam sekitar dan nyawa manusia yang terkorban.
"Mereka ghairah kononnya mereka sudah eksport RM23 bilion nilai balak keluar negara tetapi maknanya berapa juta pokok yang ditebang? Jadi jangan kamu bermegah hasilkan balak RM23 bilion.
"Saya minta pengerusi board ini turun ke kampung dan tengok balak menghentam rumah orang kampung.
"Saya juga cadangkan kerajaan lantik salah seorang kami NGO alam sekitar duduk dalam lembaga ini supaya kami boleh memantau," katanya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan program tanam semula hutan yang dilaksanakan tetapi tidak banyak diwar warkan. Razak bertanya, adakah syarikat konsesi pembalakan diwajibkan menanam semula atau kerajaan yang terpaksa melakukannya?
"Kami NGO tak nampak usaha mereka tanam semula. Mereka tebang semua tetapi kita tidak tahu, sebab kita tidak boleh masuk kawasan balak. Adakah konsesi diberi tanggungjawab lepas tebang tanam semula atau lepas tebang kerajaan tanam? Adakah jentera Jabatan Perhutanan untuk tanam beribu ribu ekar?
"Cukai yang kerajaan dapat dari balak pun RM101 juta sahaja, tetapi kerosakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru baru ini (akibat banjir) RM6.5 bilion. Adil ke tidak?
"Kita tak mahu tiap tiap tahun orang main air (banjir), bukan paras lutut tetapi atas bumbung. Kita mahu penduduki Pahang dapat pampasan sewajarnya. RM1,000 RM2,000 tak memadai," katanya.
Wakil dari NGO Greenpeace, saudara Heng pula berkata kejadian banjir baru baru ini menyedarkan rakyat bahawa kemusnahan hutan bukan hanya mengganggu habitat haiwan tetapi juga mengobankan nyawa manusia.
"Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini membuktikan masalah banjir bukan hanya kerosakan habitat orang utan atau harimau sahaja. Masalah alam sekitar menjelaskan banyak pihak, terutama kawan kita yang menjadi mangsa dan hidup sensara akibat banjir
"Kami di sini bersama NGO lain menyatakan solidariti atas tuntutan yang ada supaya pembuat dasar, ahli politik dapat menunaikan janji pertahan hutan dan kita akan memantau mereka dari semasa ke semasa," katanya lagi
Himpunan serahan memorandum tersebut turut disertai wakil wakil mahasiswa, NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan beberapa NGO lain.
Kami rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memohon kepada Tuanku menasihat pihak eksekutif atau kerajaan tentang masalah pembalakan yang menyebabkan rakyat Tuanku derita.
Ampun Tuanku. Beribu-ribu ampun.