top of page

'Memijak al-Quran bagi kami seumpama memijak kitab Veda'

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Meskipun berlainan agama, seorang pemimpin berketurunan India dari KEADILAN mengecam keras penghinaan terhadap al-Quran sambil mengingatkan orang ramai agar tidak terperangkap dengan cubaan memanipulasi isu agama menjelang pilihan raya.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Sivamalar Genapathy (gambar) menyifatkan tindakan tersebut sebagai biadab, tidak boleh diterima dan tiada tempat dalam masyarakat berbilang agama seperti Malaysia.


“Saya dengan tegas mengecam perbuatan terbaharu yang melibatkan penghinaan terhadap al-Quran.


"Tindakan sedemikian amat biadab, tidak boleh diterima dan sama sekali tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat bertamadun serta berbilang agama seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan.


Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat menjelaskan agama Hindu sebagaimana agama-agama lain tidak pernah mengizinkan sebarang penghinaan terhadap kitab suci atau rumah ibadat mana-mana agama.


“Memijak al-Quran bagi kami adalah seumpama memijak kitab Veda kami sendiri. Ia merupakan satu pelanggaran terhadap suara hati, keimanan dan nilai kemanusiaan,” katanya.


Dalam masa sama, beliau turut menegur tindakan mempersenda dan menyebarkan rakaman video berkaitan perobohan kuil, tokong atau rumah ibadat lain sambil membuat kenyataan berunsur provokasi.


“Penghinaan tidak boleh sama sekali dibenarkan, tanpa mengira daripada komuniti mana ia datang,” tegasnya.


Sivamalar menegaskan adalah tidak adil dan berbahaya untuk menghukum keseluruhan komuniti Hindu atau Cina atas perbuatan segelintir individu, sebagaimana tidak wajar untuk menggeneralisasikan umat Islam berdasarkan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.


Katanya, sikap menyalahkan secara kolektif hanya akan menambah rasa curiga dan meretakkan fabrik sosial negara yang dibina atas asas kepelbagaian kaum, budaya dan saling menghormati.


Beliau turut mengingatkan bahawa cubaan meniup api kebencian lazimnya dipergiatkan apabila pilihan raya semakin hampir.


“Sudah tentu cubaan seperti ini sering dipergiatkan apabila pilihan raya semakin hampir. Kita tidak boleh membiarkan mereka berjaya,” katanya.


Isu penghinaan al-Quran kembali menjadi perhatian selepas tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang individu didakwa memijak kitab suci umat Islam itu, mencetuskan kemarahan orang ramai.


Kes berkenaan sedang disiasat pihak berkuasa di bawah peruntukan undang-undang berkaitan hasutan dan kesalahan melibatkan agama, susulan beberapa laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak.


Insiden tersebut turut mencetuskan perdebatan awam mengenai keperluan menangani isu penghinaan agama secara tegas tetapi berlandaskan undang-undang, tanpa membenarkan ia dieksploitasi bagi kepentingan politik.


Sivamalar dalam kenyataannya menyeru rakyat agar berdiri teguh mempertahankan keharmonian dan menolak ekstremisme serta kebencian agama.


“Hanya melalui perpaduan, sikap matang dan kejelasan moral, kita mampu mempertahankan keamanan serta keharmonian yang menjadi tunjang negara ini,” katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page