Dakwaan kerajaan "senyap” isu hina Islam tidak berasas - Altimet
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 1 min read

Ahli Dewan Undangan (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (gambar) menyatakan sokongan terhadap penegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dakwaan kononnya kerajaan “senyap” dalam menangani isu penghinaan agama adalah tidak berasas.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Ampang berkata, kenyataan Perdana Menteri semalam jelas menunjukkan tindakan kerajaan berlandaskan undang-undang telah pun dijalankan termasuk siasatan serta tindakan pihak berkuasa terhadap insiden yang melibatkan penghinaan terhadap al-Quran.
Anwar dalam kenyataannya menegaskan kerajaan tidak akan sesekali membiarkan sebarang penghinaan terhadap al-Quran atau mana-mana agama di negara ini dan rakyat perlu memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan tanpa tergesa-gesa atau didorong emosi semata-mata.
"Saya bersetuju dengan penegasan Perdana Menteri bahawa dakwaan kerajaan ‘senyap’ adalah tidak berasas," kata beliau merujuk kepada kenyataan Anwar bahawa kerajaan telah bertindak dengan pantas dan teratur.
Beliau yang juga dikenali sebagai Altimet berkata isu sensitif seperti itu memerlukan tindakan berlandaskan undang-undang dan bukan mengikut tekanan emosi atau sentimen semasa.
"Kita lihat ada komen yang beranggapan kerajaan tidak bertindak, walhal tindakan pantas telah dilakukan dan proses undang-undang juga berjalan," tambahnya.
Altimet menegaskan siasatan yang teliti oleh pihak berkuasa penting bagi memastikan agama tidak dimainkan sewenang-wenangnya serta keadilan ditegakkan tanpa menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
"Kita berilah ruang untuk melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional dan adil," katanya.
Sebelum ini laskar siber pembangkang dan kumpulan ultra agama berkata, Kerajaan Madani tidak bertindak ke atas penjenayah yang menghina al Quran. Mereka meragukan tindakan kerana kerajaan tidak mengadakan sidang media berhubung penangkapan individu tersebut, dan tidak memaparkan gambar lelaki berkenaan disoal siasat.
Tohmahan tersebut berleluasa menjelang tempoh reman berakhir pada esok hari sehinggalah Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan petang tadi akan mendakwa individu tersebut.




Comments