top of page

Penyertaan kaum lelaki diperlukan bina kesetaraan gender

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 hours ago
  • 3 min read
Dari kiri: Chong Chin Yee (Brunei) Aziz Kamara Sarjoh (Sierra Leone), dan Loh Ker Chean menghadiri persidangan di Universiti Peking, di bawah program “Workshop on governance”
Dari kiri: Chong Chin Yee (Brunei) Aziz Kamara Sarjoh (Sierra Leone), dan Loh Ker Chean menghadiri persidangan di Universiti Peking, di bawah program “Workshop on governance”

Membina kesetaraan gender kekal menjadi masalah dalam masyarakat Malaysia terutama seputar dunia pekerjaan, pendidikan dan politik.


Hal itu diungkapkan oleh Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean dalam ucapannya di Universiti Peking pada program “Workshop on governance” melibatkan 51 perwakilan dari setiap negara benua Asia, Amerika Selatan, Oceania, dan Afrika.


Dalam ucapan Pegawai Tugas Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan itu yang bertajuk "Perkembangan Kerjaya Wanita dan Perjalanan Pertumbuhan Peribadi Saya", Ker Chean mengimbas kembali perjalanan akademik beliau sejak mengambil jurusan kejuruteraan elektronik sehingga bekerja di sebuah perusahaan swasta, yang mana beliau mendapati ruang kerjaya sarat dominasi lelaki.


"Ketika saya mengambil jurusan kejuruteraan elektronik, hanya tiga daripada sepuluh pelajar merupakan wanita. Kemudian, apabila saya mula bekerja di Intel, keadaannya masih sama, majoritinya adalah lelaki," katanya.


Walaupun pada peringkat awal dirinya tidak merasakan layanan berbeza, namun realiti berubah apabila beliau melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik.


"Saya mula turun padang, bertemu masyarakat, membina rangkaian, dan ketika itulah saya benar-benar melihat betapa mendalamnya bias gender masih wujud. Seksisme itu benar. Dan ia muncul dalam pelbagai bentuk," katanya.


Menurutnya, diskriminasi itu merangkumi keraguan terhadap kemampuan wanita, gurauan melampau yang merendahkan martabat, serta tanggapan bahawa wanita tidak sepatutnya berada dalam kedudukan tertentu.


Bagaimanapun, setelah beberapa tahun dalam dunia politik beliau tetap berasa bangga apabila menjadi sebahagian daripada arus yang mencipta perubahan dalam kesaksamaan gender di Malaysia.


Ker Chean bangga dengan pencapaian Parti KEADILAN yang telah memecah banyak rekod kepimpinan wanita.


"Kita pernah mempunyai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Parti wanita pertama Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Timbalan Presiden Parti wanita pertama, Nurul Izzah Anwar. Menteri Pendidikan wanita pertama (Fadhlina Sidek) dan Menteri Kesihatan wanita pertama (Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa)," ujarnya.


Deretan ‘yang pertama’ itu, kata beliau, bukan sekadar simbolik, sebaliknya bukti stereotaip yang dipecahkan serta peralihan paradigma kepimpinan nasional.


Namun begitu secara keseluruhan, tegas Ker Chean, wanita masih Malaysia terbeban dan hala tuju negara perlu lebih jelas. Terutama, dalam isu beban kerja wanita sebagai penjaga anak yang tidak berbayar di rumah; di sekolah anak perempuan masih berhadapan galakan yang lemah apabila mereka memilih bidang seperti sains, teknologi atau kejuruteraan; dan di tempat kerja, isu seperti jurang gaji, peluang kepimpinan yang terhad juga keselamatan tempat kerja masih mengekang kemajuan wanita.


"Dalam komuniti, norma tradisi masih mengehadkan kebebasan wanita untuk memimpin atau bersuara.


"Sebab itu, saya mendapati pendekatan China terhadap pengurangan kemiskinan yang dikongsi oleh Profesor Xia Qingjie dalam “Fighting Poverty in China” sangat bermakna.


"Ia pada pandangan saya sangat tepat; bersifat praktikal dan berkesan dan bertindak sebagai kayu ukur penting bagi kesaksamaan gender ialah “membolehkan wanita bekerja," katanya.


Menurut Ker Chean, amat penting wanita digalakkan bekerja kerana mereka akan mempunyai pendapatan sendiri dan mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga, malah mengukuhkan ekonomi negara.


Malaysia kini menyasarkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60 peratus menjelang 2030, namun angka itu masih belum mencukupi.


Sehubungan itu, ujarnya, perjuangan kesaksamaan gender tidak boleh digalas wanita seorang diri, lelaki perlu bersama sama memberi galakan.


"Lelaki mesti menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Kesaksamaan gender tidak boleh berlaku secara terasing. Lelaki perlu terlibat sebagai sekutu, rakan kongsi dan penyokong perubahan."


Beliau juga mengingatkan bahawa isu seperti gangguan seksual dan keganasan rumah tangga bukan isu wanita semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama.


Justeru, beliau menyeru perubahan struktur yang lebih signifikan dalam masyarakat.


"Kita memerlukan sistem yang memberdayakan wanita, bukan sekadar ucapan yang meraikan mereka. Kita memerlukan peluang sebenar, bukan sekadar galakan," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page