top of page

'Melayu kurang matang, bincang isu ekonomi berakhir kepada politik'



Tahap kematangan bangsa Melayu Malaysia dipersoalkan apabila tidak banyak perbincangan yang sihat dalam kalangan kaum itu, sebaliknya sering dihalakan kepada isu politik.


Penganalisis politik Abdul Muqid Muhammad berkata, isu monopoli Bernas dalam industri beras negara yang ditimbulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini sepatutnya menjadi isu ekonomi semata mata tetapi bertukar kepada isu politik Melayu lawan Cina.


Katanya, kaum Melayu Malaysia biar pun telah 60 tahun merdeka mereka tidak tahu untuk melabelkan sesuatu isu dengan tepat dan sering berbincang ke arah yang salah.


"Bila saudara Anwar bincang isu Bernas dan sebagainya kenapa isu itu diheret menjadi satu perbincangan tentang Melayu vs bukan Melayu. Itu satu kesilapan kita menggarap isu berkaitan sentimen ini.


"Kita suka meletakkan beban kesalahan kepada pihak yang salah. Sebagai contoh isu kebanjiran pekerja asing, yang disalahkan pekerja asing. Dan orang politik mengapi apikan sentimen, seolah olah pekerja asing ini mencuri pekerjaan kita di tapak pembinaan


"Sedangkan isu berbangkit bukan isu identiti. Kita tidak tahu melabelkan isu yang kita bincangkan itu apa; ekonomi, sara hidup, pendapatan, gaji bermaruah atau sebagainya," katanya dalam forum maya anjuran Sumberkini, malam tadi.


Menurut beliau, kaum Melayu tidak akan maju sekiranya kerap kali salah meletakkan isu kerana ia tidak akan menghasilkan keputusan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah.


Beliau mengulangi contoh isu perkerja asing, kononnya warga asing merampas pekerjaan rakyat tempatan sedangkan isu tersebut adalah berkenaan gaji bermaruah.


"Saya katakan isu pekerja asing ialah tentang gaji bermaruah, kenapa pekerja Melayu, Cina sanggup beratur di sempadan Johor - Singapura.


"Empat jam beratur masuk ke Singapura. Mereka di sana kerja sektor 3D, kerja kumbahan dan sebagainya. Mereka dapat gaji lumayan. Sama seperti orang Malaysia ke Australia kutip buah kerana gaji setimpal.


"Kita perlu rungkai kenapa ada pekerja asing, kenapa kontraktor lebih memilih pekerja asing kerana pekerja asing dibayar sangat rendah. Bila kita bincang satu isu, kena bincang secara jelas," katanya.


Menurut beliau lagi, keadaan menjadi begitu bejat apabila ahli politik turut terlibat dengan memainkan isu yang tidak produktif dan sengaja ingin memanaskan suasana untuk mendapat keuntungan politik.


"Misalnya kenyataan MB Kedah dalam isu Bernas, kenapa Melayu? Ini masalah, kerana perbicangan isu itu berteraskan hal ekonomi kelas bawahan, Melayu dan sebagainya. Tetapi apabila diwajahkan dalam hal sebegitu itu, ia jadi satu sentimen.


"Kenyataan Hj Hadi misalnya dia kata ini alam Melayu, Cina ada negeri Cina, India ada negeri India. Jadi perbincangan itu diwajahkan dalam politik kepartian.


"Kalau perbincangan itu dari aspek kebudayaan, negara bangsa itu hujah tepat. Tetapi diwajahkan politik kepartian dan menidakkan hak sah bukan Melayu, itu jadi satu masalah.


"Itu memberi kesan besar kepada perkauman," katanya lagi.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page