Kaum Melayu diingatkan agar menilai propaganda kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) kononnya mahu membela mereka lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kaum Melayu tidak seharusnya terus menerus ditipu dengan slogan dan adu domba antara kaum.
Menurutnya, propaganda anti-DAP dari gabungan PN mahupun Muafakat Nasional (MN) tidak menguntungkan orang Melayu kerana hanya menyemai benih kebencian dan tidak pernah disertakan dengan dasar bersungguh-sungguh membela Melayu secara komprehensif.
"Apa yang berlaku mereka sebelum ini pertikaikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kononnya ditunggang DAP. Kita kena tengoklah siapa PM, timbalan PM bukankah Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail)? Kenapa digembar-gemburkan PH pentadbiran Cina, komunis, orang kafir dan sebagainya?
"Sekarang ini pilihan raya di Sabah. Semboyan telah berbunyi, bermodalkan sentimen perkauman mereka terus memainkan isu perkauman. Memberi kemenangan yang tidak bermoral buat mereka. Isu ini tidak relevan. Tengok sahaja kempen media dilakukan oleh kerajaan hari ini, kekuatan mereka (dikumpulkan) hanya untuk mempertahankan slogan- slogan menjijikkan ini," katanya ketika dihubungi.
Mengulas isu pertikaian antara pekebun durian Musang King dan kerajaan Pahang di Raub yang akhirnya dipersalahkan kepada DAP, Abdullah berkata, taktik mengalihkan isu oleh Umno itu harus menjentik minda Melayu.
Katanya, kaum Melayu tidak wajar ditipu hidup-hidup sedangkan mereka tahu siapakah yang memerintah negeri Pahang sejak merdeka.
"Tanah siapa pegang? Isu tanah ini isu negeri. Laung jerit sekalipun tak runtuh tanah itu. Hak penerokaan tanah itu hak kerajaan negeri (mengapa tidak bertindak?).
"Pahang itu pula siapa yang perintah, DAP ke? Daerah Raub itu BN yang perintah, kita bukan kerajaan (di sana) kita hanya pembangkang," katanya lagi.
Taktik kerajaan PN dan pemimpin MN yang menunding jari ke arah beberapa ahli politik DAP yang membela pekebun di Raub amat menjijikkan.
Sedangkan penerokaan ribuan ekar hutan simpan untuk tanaman durian telah dilakukan sejak sebelum 1980an. Menteri Besar (MB) Pahang pula semuanya dari Umno.
Bermula 4 dekad lalu dengan Datuk Rahim Abu Bakar (1978 - 1981), Datuk Rashid Abdul Rahman (1981 - 1982), Datuk Seri Najib Razak (1982 - 1986), Tan Sri Khalil Yaakob (1986 - 1999) dan Datuk Seri Adnan Yaakob (1999 - 2018).
Tiada satu pun MB dari DAP. Malah Kawasan Parlimen Raub pula lebih banyak diwakili MCA. DAP hanya menang dalam dua penggal terakhir.
Comments