Melaka, Perlis elok buat PRN serentak - Dr Yusri Ibrahim
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 1 min read

Seorang penganalisis politik menyarankan Melaka dan Perlis mengikuti langkah Johor dan Negeri Sembilan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara serentak.
Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, mengadakan PRN secara serentak memberi banyak kelebihan berbanding mengadakan beberapa pilihanraya secara berasingan dalam tempoh berdekatan.
Selain dapat menjimatkan kos mengadakan pilihanraya, ia mampu meredakan ketidaktentuan politik yang sedang berlaku di beberapa negeri terbabit selain mengurangkan keletihan politik di kalangan rakyat.
"Dalam situasi semasa, pilihanraya serentak adalah lebih baik berbanding beberapa pilihan raya negeri yang diadakan berulang kali dalam tempoh yang tidak jauh berbeza.
"Pendekatan ini bukan sahaja lebih efisien dari sudut pengurusan pilihanraya, malah dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan ekonomi selepas proses demokrasi selesai," katanya dipetik.
Menurut Dr Mohd Yusri saranan tersebut dibuat kerana kemelut politik antara Pas dan Bersatu di Perlis telah sampai ke tahap yang hampir tersimpul mati.
Dalam keadaan tersebut jelasnya, mandat rakyat melalui pilihanraya adalah penyelesaian paling demokratik dan berkesan.
"Melaka juga wajar mempertimbangkan pembubaran DUN memandangkan penggal pentadbiran negeri itu hampir berakhir. Sudah tiba masanya kerajaan mendapatkan mandat baharu daripada pengundi," tambahnya.
Sebagai rekod, DUN Johor dan DUN Negeri Sembilan sudahpun dibubarkan secara rasmi awal minggu ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.




Comments