top of page

Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api bukan punca bil elektrik naik - TNB

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
6 hours ago
2 min read

Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) tidak menjadi punca utama peningkatan mendadak bil elektrik pengguna.


Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan pada Selasa sebaliknya berkata, peningkatan bil tersebut lebih dipengaruhi corak penggunaan elektrik pengguna.


Menurut TNB, AFA yang diperkenalkan pada 1 Julai 2025 adalah bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bukan merupakan caj tambahan baharu.


Mekanisme tersebut berfungsi secara dua hala bagi mengimbangi perubahan kos bahan api serta kadar tukaran mata wang asing.


"Apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati rebat dan jumlah penjimatan dipulangkan secara terus menerusi bil elektrik.


"Bila kos bahan api global meningkat pula, perbezaan kos diselaraskan melalui kadar surcaj," katanya dalam kenyataan


TNB juga memaklumkan, sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April lalu.


Surcaj hanya mula dikenakan pada Mei lepas apabila kos penjanaan meningkat berikutan krisis di Asia Barat,

"Pengguna secara keseluruhannya menerima rebat AFA berjumlah RM3.1 bilion sejak mekanisme tersebut diperkenalkan, berbanding surcaj sebanyak RM800 juta.


"Kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna," kata kenyataan tersebut.


Menerusi kenyataan sama TNB juga menjelaskan, bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kilowatt-jam (kWj) atau kurang sebulan, mereka dilindungi sepenuhnya daripada caj AFA sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj.


Kumpulan pengguna itu turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan 8% dan Caj Peruncitan, selain membayar kira-kira 2% hingga 14% lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.


Sehubungan itu jelas TNB, pihaknya kekal komited dalam memastikan setiap bil elektrik yang dibayar pengguna mencerminkan kos sebenar.


TNB turut menggalakkan pengguna memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, meningkatkan kecekapan tenaga, mempertimbangkan pelan Time of Use (TOU) serta memasang solar bumbung di bawah inisiatif Solar ATAP dan SURIA Home bagi membantu mengawal bil bulanan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page