Mekanisme bayaran royalti: Kaedah sama seperti kerajaan terdahulu
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Pembangkang digesa tidak menjadikan mekanisme pengurusan bayaran royalti petroleum dilaksanakan kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri sebagai modal politik.
Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, kaedah pengurusan dan pembayaran royalti yang dilaksanakan ketika ini merupakan pendekatan sama yang telah dipraktikkan termasuk ketika pentadbiran terdahulu.
"Mekanisme itu bukan sekadar menyalurkan dana kepada kerajaan negeri, sebaliknya melibatkan penyelarasan bagi pelaksanaan projek rakyat.
"Semangatnya ialah kita mahu dana ini tidak hanya digunakan untuk membiayai gaji dan emolumen semata-mata, tetapi dalam masa sama diselaraskan supaya projek-projek untuk rakyat dipantau dan dapat dilaksanakan dengan baik," katanya dipetik.
Terdahulu, beliau hadir ke sesi perbincangan bersama petani berhubung isu status tanah di Kanthan, Chemor di Ipoh semalam.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilapor mendakwa mekanisme sedia ada kurang efisien kerana tidak semua bayaran disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.
Katanya, hanya sekitar 48 peratus bayaran royalti petroleum disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri, manakala baki selebihnya diuruskan oleh Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan projek.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menegaskan, pendekatan yang sudah lama dipraktikkan dan ianya juga digunakan ketika Perikatan Nasional memerintah pada 2022 - 2022, yang mana Dr Samsuri tidak pula mengkritiknya waktu itu.
"Apa yang kita buat hari ini ialah mencerminkan semangat federalisme dan yang paling penting, manfaat terbesar daripada peruntukan dana khas dapat dipulangkan semula kepada rakyat.
"Jadi pihak-pihak yang tak ada modal politik ini, hentikan bermain menyerang kerajaan dengan politik murah sebegini," tegasnya.




Comments