top of page

Kecemerlangan berteras nilai: Tolak budaya TikTok baca dua minit, terus menghukum

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 2 hours ago
  • 3 min read
DS Anwar berucap di hadapan kira-kira 1,000 kakitangan dan guru pelatih di IPGTI, Johor
DS Anwar berucap di hadapan kira-kira 1,000 kakitangan dan guru pelatih di IPGTI, Johor

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan membentuk masyarakat berteraskan nilai, akhlak dan kecemerlangan dalam usaha melonjakkan masa depan negara, khususnya melalui peranan generasi muda dan institusi pendidikan.


Berucap pada sesi ramah mesra di Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim (IPGTI) semalam, beliau berkata Malaysia tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian biasa sebaliknya perlu melakukan “lonjakan” ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi seiring konsep "itqan fil amal", yang bermaksud ketekunan, ketelitian dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu kerja atau amal untuk mencapai tahap kesempurnaan tertinggi. 


"Kalau kita hanya mempertahankan kejayaan sedia ada, itu tidak mencukupi. Kita mesti ada semangat untuk melonjak, memperbaiki sistem dan meningkatkan mutu perkhidmatan," katanya.


"Sejarah Islam, khususnya peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW, menjadi contoh besar yang bukan sahaja memperbetulkan akidah, tetapi membina sistem, memperkasa ilmu dan melahirkan tamadun unggul," kata Anwar di hadapan kira-kira 1,000 kakitangan dan guru pelatih di IPGTI.


Beliau merujuk pandangan sarjana Islam, Ismail Al-Faruqi yang menyifatkan masyarakat Islam awal sebagai “generasi Al-Quran yang unik” satu generasi yang terbina atas keyakinan, ilmu dan semangat perubahan.


"Keunikan generasi ini bukan sekadar pada kepercayaan tetapi pada usaha membina masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya maju.


"Dalam masa sama kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) tidak boleh menjadi matlamat akhir tanpa pengukuhan nilai kemanusiaan.


"Tamadun yang kita bina mesti mengangkat darjat kemanusiaan. Kalau ada rasuah, penghinaan kaum dan kezaliman, di mana nilai dan akhlak kita?" tanya beliau.


Anwar turut mengkritik sikap segelintir masyarakat, khususnya anak muda, yang mudah membuat penilaian dangkal berdasarkan maklumat singkat di media sosial seperti TikTok dan Instagram.


"Dua tiga minit menonton, terus menghukum dan menghina orang lain. Ini bukan tanda kematangan atau ilmu," katanya.


Dalam konteks pendidikan, Anwar menyeru pensyarah dan warga pendidik supaya membantu merangka pendekatan baharu yang selari dengan perkembangan semasa, termasuk penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan.


Menurut beliau, sistem pendidikan perlu berubah mengikut zaman dan tidak boleh terikat sepenuhnya dengan pendekatan lama.


"Dulu kita baru bercakap tentang komputer, sekarang kita bicara soal teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data. Ini semua menuntut perubahan dalam sistem pendidikan kita," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan taraf institusi pendidikan seperti IPG dan program prauniversiti perlu disertai pemupukan kematangan intelektual serta daya fikir kritis dalam kalangan pelajar.


Kata Anwar, pembinaan masyarakat MADANI tidak boleh terpisah daripada usaha membentuk komuniti yang inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.


"Tidak boleh ada budaya menghina orang kerana warna kulit, kaum atau agama. Masyarakat yang kita bina mesti berasaskan hormat, nilai dan akhlak yang tinggi," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa antara cabaran utama negara ialah sikap berpuas hati dan keangkuhan segelintir pihak yang merasakan diri sudah cukup hebat tanpa usaha berterusan menambah ilmu.


"Belajar sedikit, tetapi rasa sudah tahu semua. Ini penyakit yang merencatkan kemajuan. Kita mesti terus belajar dan merendah diri untuk maju".


Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa semangat pembaharuan perlu difahami sebagai perjuangan berterusan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar, bukan sekadar perubahan simbolik.


"Bina kekuatan ilmu, akhlak dan sistem. Itu yang akhirnya melahirkan tamadun yang hebat.


"Golongan pendidik dan pelajar perlu memainkan peranan lebih besar dalam mencorakkan masa depan negara melalui budaya ilmu, pemikiran kritis dan komitmen terhadap kecemerlangan.


"Kita ada ruang untuk berjaya, tetapi mesti ada semangat juang, disiplin dan keinginan untuk mencapai yang terbaik," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page