top of page

Tiada pembangunan Hutan Ayer Hitam, tanah 168 ekar bukan hutan simpan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 25
  • 2 min read


Dakwaan kononnya Kerajaan Negeri meluluskan pembangunan di kawasan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor adalah tidak berasas dan disebarkan untuk tujuan politik murahan.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, penjelasan telah diberikan selepas pihaknya menerima kunjungan wakil penduduk dari kawasan Puchong yang hadir mendapatkan penerangan berhubung status tanah seluas 168 ekar di Permatang Kumbang, Pusat Bandar Puchong.


"Pertama, tanah seluas 168 ekar yang dirujuk bukan merupakan kawasan Hutan Simpan Kekal.


"Ini kerana tanah tersebut dinyahwarta pada tahun 1926, 100 tahun lalu. Ketika itu, Puchong dikenali sebagai Kampung Pulas dan Malaysia sedang dijajah oleh British dan dinamakan sebagai British Malaya," katanya dalam kenyataan.


Berhubung dakwaan pembangunan pula, Amirudin berkata pentadbiran negeri ketika ini tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan berkenaan.


"Kedua, berhubung isu pembangunan pula, pentadbiran ini tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan itu.


"Sebaliknya, pada 1996, Kerajaan Negeri pada ketika itu telah meluluskan pemberi milikan tanah kerajaan seluas 168 ekar itu kepada dua syarikat, iaitu Citrasama Projek Sdn. Bhd. dan Metroway Sdn. Bhd. untuk pembangunan Perumahan Kos Rendah," katanya.


Beliau berkata permohonan Kebenaran Merancang oleh pemaju kemudian ditolak Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 2003 kerana sebahagian besar kawasan terbabit adalah cerun berisiko tinggi.


"Permohonan Kebenaran Merancang oleh pemaju telah ditolak oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya pada tahun 2003 kerana 75% kawasan tersebut dikategorikan sebagai cerun Kelas III dan IV, iaitu cerun melebihi 25 darjah dan tidak sesuai untuk dibangunkan," katanya.


Menurut beliau, susulan keadaan itu, kerajaan negeri pada 18 Ogos 2010 memutuskan supaya projek berkenaan dibatalkan dan pemberi milikan tanah ditarik semula.


Katanya, keputusan pihak berkuasa tempatan itu kemudiannya dicabar di mahkamah sebelum Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memihak kepada kerajaan negeri.


"Keputusan mahkamah di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada MPSJ, antaranya mengesahkan bahawa keputusan Pihak Berkuasa Tempatan untuk tidak membenarkan pembangunan di kawasan tersebut adalah tepat kerana keadaan cerun," katanya.


Menyentuh isu harga jualan tanah, Amirudin berkata dakwaan tanah itu dijual di bawah harga pasaran juga tidak tepat kerana urusan penjualan dibuat melalui tender terbuka.


"Susulan daripada keputusan Kerajaan Negeri untuk membatalkan projek perumahan tersebut, pada 2012, tanah tersebut dihasratkan untuk dijual melalui proses tender terbuka.


"Kemudian, juruperunding hartanah telah dilantik untuk menilai harga pasaran tanah pada tahun 2012. Nilai yang dimuktamadkan adalah RM13.02 sekaki persegi ataupun RM95.3 juta secara keseluruhan," katanya.


Beliau berkata, keputusan tender akhirnya dibuat pada harga RM101 juta, iaitu lebih tinggi daripada nilai penilaian rasmi.


"Tiga syarikat telah terlibat dalam proses tender terbuka dan keputusan telah diambil untuk menjual tanah tersebut pada harga RM101 juta iaitu kadar 5.90% melebihi harga penilaian," katanya.


Amirudin menegaskan kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Subang Jaya kekal berpegang bahawa tanah berkenaan tidak selamat dibangunkan untuk tujuan komersial atau perumahan.


"Kerajaan Negeri menerusi MBSJ berpegang kepada keputusan bahawa tanah tersebut tidak selamat untuk dibangunkan untuk tujuan komersial ataupun perumahan kerana berada pada topografi cerun Kelas III dan Kelas IV dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata wakil penduduk mencadangkan supaya laluan mendaki ke Hutan Simpan Ayer Hitam dikekalkan untuk kegunaan komuniti setempat.


"Permohonan ini akan diangkat ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta rundingan bersama pihak pemunya tanah supaya keperluan riadah dan rekreasi komuniti tempatan dipelihara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page