Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa rakyat Pulau Pinang hadir ke sesi Temu Anwar yang bakal diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) petang ini.
Melalui catatan di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan sesi tersebut akan berlangsung pada jam 3 petang dan beliau akan menjawab soalan yang bakal diajukan kepadanya.
"Seperti kebiasaan, saya akan menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh peserta yang hadir. Kita jumpa esok!" katanya dalam hantaran itu.
Temu Anwar merupakan program dialog anak muda bersiri dan sinonim dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.
Ia khusus bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutama anak muda bertanyakan soalan secara terus kepadanya dan disiarkan secara langsung.
Program ini telah dilaksanakan sejak 2009 dan terus mendapat sambutan sehingga kini.
Menurut Anwar, orang ramai yang berminat menghadiri sesi itu boleh membuat pendaftaran menerusi laman web www.temuanwar.com.
Comments