top of page

MediAsas, RESET: Tangani krisis premium insurans, kos rawatan - Tze Tzin

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 days ago
  • 2 min read
Sim Tze Tzin telah memperjuangkan isu kenaikan caj insurans perubatan sejak tahun 2025
Sim Tze Tzin telah memperjuangkan isu kenaikan caj insurans perubatan sejak tahun 2025

Selepas bertahun-tahun rakyat dibelenggu kenaikan premium insurans perubatan dan kos rawatan swasta, kerajaan kini memperkenalkan MediAsas dan Strategi RESET sebagai pakej reformasi bagi menangani punca sebenar masalah melalui pembaharuan sistem pembiayaan kesihatan negara.


Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, langkah itu membuktikan Kerajaan MADANI bukan sekadar mengurus krisis, malah melaksanakan reformasi untuk memastikan sistem kesihatan negara lebih adil, telus, mampan dan mampu dimiliki rakyat.


"Selama bertahun-tahun tiada kerajaan terdahulu yang benar-benar menangani punca sebenar masalah itu kerana kos rawatan swasta terus meningkat tanpa kawalan yang berkesan.


"Premium terus meningkat kerana kos rawatan swasta meningkat tanpa kawalan yang berkesan. Apabila kos rawatan melonjak, syarikat insurans menaikkan premium dan akhirnya rakyat menjadi mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sim Tze Tzin
Sim Tze Tzin

Menurut Tze Tzin, isu itu mula dibangkitkannya sejak Oktober 2024 apabila ramai pemegang polisi berdepan kenaikan premium yang mendadak, malah ada yang mencecah sehingga 80 peratus.


Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai pesara, warga emas dan golongan kelas pertengahan terpaksa mengurangkan perlindungan atau membatalkan polisi kerana tidak lagi mampu menanggung premium yang meningkat saban tahun.


Beliau berkata, ketika menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), beliau turut mengusahakan siasatan menyeluruh terhadap isu berkenaan menerusi prosiding yang melibatkan kementerian, pengawal selia, syarikat insurans, hospital swasta, persatuan perubatan, pakar kesihatan dan pelbagai pihak berkepentingan.


"Hasil siasatan itu ialah satu laporan komprehensif setebal 1,999 muka surat yang mengupas secara menyeluruh punca kenaikan premium insurans, inflasi kos rawatan, kelemahan struktur sistem pembiayaan kesihatan serta mengemukakan pelbagai syor reformasi.


"MediAsas dan Strategi RESET membuktikan Kerajaan MADANI bukan sekadar menerima laporan tersebut, malah bertindak menterjemahkan syor-syor penting kepada dasar yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.


Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu, strategi RESET akan mengubah pendekatan pembiayaan kesihatan negara melalui usaha meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh penjagaan primer, menggalakkan amalan rawatan lebih cekap dan berasaskan nilai, selain memastikan semua pemain dalam ekosistem kesihatan memikul tanggungjawab mengawal kos.


Beliau berkata, MediAsas dan RESET perlu dilihat sebagai satu pakej reformasi yang saling melengkapi iaitu memperluaskan akses kepada perlindungan kesihatan dan menangani punca kenaikan premium dengan mengawal inflasi kos kesihatan.


Katanya, walaupun reformasi itu mungkin memberi kesan kepada kepentingan pihak tertentu dalam industri, termasuk syarikat insurans dan hospital swasta, kepentingan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan.


"Saya menyokong penuh usaha kerajaan dan yakin MediAsas serta Strategi RESET akan menjadi titik perubahan kepada sistem kesihatan negara yang lebih adil, lebih telus, lebih mampan dan lebih mampu dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia," ujar Timbalan Menteri MITI itu.


Pada 6 Julai lalu, Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) mengumumkan pakej reformasi pembiayaan kesihatan yang merangkumi pelancaran MediAsas, skim insurans kesihatan asas pada premium mampu milik serta Strategi RESET yang menggariskan pelbagai langkah bagi membendung inflasi kos penjagaan kesihatan swasta.


MediAsas merupakan skim perlindungan insurans dan takaful perubatan standard yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia bermula dengan program rintis pada Julai 2026 sebelum pelaksanaan penuh secara nasional pada Januari 2027.


Skim mampu milik ini menawarkan dua varian pelan, iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, dengan anggaran premium bulanan antara RM60 hingga RM550 bagi memastikan golongan yang tidak mempunyai perlindungan swasta atau terbeban dengan kenaikan kos premium mendapat perlindungan kesihatan sehingga usia 85 tahun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page