top of page

Peluncuran kombo karya Samad Said: Media sosial tidak harus ganti baca karya besar sastera

Updated: Jun 13, 2022



Keakraban dan kebergantungan rakyat Malaysia kepada media sosial tidak seharusnya melupakan mereka untuk membaca karya besar sastera tempatan mahu pun dunia.


Hal itu diungkapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena peluncuran buku "Kombo Merdeka 65 tahun karya A Samad Said, Salina, Langit Petang dan Hujan Pagi".


Menurut Anwar, rakyat bukan sahaja perlu memperkasakan ekonomi tetapi juga memperkasa budaya dengan ilmu, tradisi iqra' atau pembacaan yang ketika ini semakin melemah sejak ledakan media sosial melanda negara.


"Media sosial harus kita manfaatkan tetapi media sosial itu tidak harus sebagai pengganti membaca karya besar, baik dunia atau pun dalam negara," katanya dalam ucapan peluncuran kombo karya Samad di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, petang tadi.


Dalam pidato itu, Anwar juga menyanjung ketokohan Samad yang amat istimewa di bidang sastera.


Katanya, Samad sebagai seniman yang halus perasaan dan hati nurani sering kali lebih dekat kepada rakyat marhaen miskin, termasuk apa yang dikategorikan sebagai penari joget dalam karya Lantai T Pinkee atau pelacur dalam Salina.


"Pada masa itu ada yang kurang senang dan nampak seolah olah (Samad) membela Salina seorang pelacur


"Tetapi Samad memilih mendalami persekitaran yang memaksa seorang wanita baik, isteri yang setia, yang terpaksa (akhirnya) terjerumus ke lembah yang dianggap hina.


"Sebaik ada ruang bebaskan beliau dari itu, termasuk perkahwinan dengan seorang lelaki yang bobrok, memukul isteri tetapi (Salina) sempat memberi didikan baik kepada Helmi (adik angkatnya).


"Anak muda kena baca karya besar ini. Karya dalam bahasa Melayu yang baik, bagi saya adalah Salina karya Samad Said," katanya.


Ambil kesempatan bertemu rakan lama sejarawan, Prof Dr Ahmat Adam

Selain itu, Anwar turut memuji karya Al Iman. Katanya dalam Al Iman, terlihat kepetahan Samad melakar maksud jahiliah iaitu kezaliman, kekejaman, kejahilan, keangkuhan kuasa dan tamak haloba yang digambarkan dengan binatang buas.


Presiden KEADILAN itu juga tidak lupa mengimbau detik detik awal beliau mengenali Samad sebagai wartawan yang berani melaporkan ucapan kritikalnya pada era 1970an, biar pun menghadapi rintangan suntingan dan kesewenangan pemerintah pada waktu itu.


"Samad ikuti saya sejak jadi Presiden ABIM 1978. Saya menyanggah kejumudan pemikiran, Samad antara wartawan yang berani memaparkan, tak ramai boleh ulas pidato kritikal masa itu," ujarnya.


Namun secara luas, Anwar mahukan Malaysia yang punyai dasar jelas dalam memartabatkan bahasa Melayu di semua sistem persekolahan, pentadbiran dan dalam kalangan rakyat menyanjung bahasa Melayu.


Tegas beliau, memartabatkan bahasa Melayu bukanlah bermakna mengurangkan peranan bahasa Inggeris.


"Ini bukan zero sum game. Ini yang salah dalam sikap pimpinan kita.


"Kita martabat bahasa Melayu dalam sudut slogan sahaja. Kalau benar dukung pesta buku ini jadikan ia peringkat nasional. Kalau benar nak martabat bahasa Melayu bantu Dewan Bahasa, gedung yang penting dalam negara kita, terjemah dan angkat martabat bahasa Melayu itu mengupas soal falsafah, agama, teknologi atau IT yang baik. Bukan slogan murahan yang sempit seperti sekarang," katanya.


Tidak lupa Anwar berpesan, lewat karya Hujan Pagi yang diterbitkan Samad pada 1987 mengenai derita seorang wartawan menegakkan hati nuraninya.


Katanya, wartawan yang baik bukan sebagai pelapor semata mata tetapi juga mempertahankan kebenaran dan menyelami denyut nadi bangsa.

Sepetang berucap di PWTC selepas dua dekad

"Hujan Pagi diterbitkan 1987, saya kira mirip kisah Samad Said sendiri sebagai wartawan.


"Wartawan itu bukan pelapor dan penjilat. Wartawan itu seperti seniman harus punyai keberanian menyatakan yang benar.


"Jangan ekonomi sudah hampir muflis kita katakan ekonomi terus berkembang. Mutu pendidikan sudah menurun kita lapor kata sampai tahap terbaik di dunia. Itu kita guna lakaran pena untuk memperbodohkan rakyat," katanya.


Justeru Anwar melahirkan sebesar penghargaan kepada Samad Said lewat kombo Salina, Langit Petang dan Hujan Pagi. Beliau menyeru agar rakyat membaca karya penting sasterawan besar negara.


Untuk rekod, kunjungan Anwar ke PWTC ini adalah yang pertama sejak September 1998.






0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page