Media sosial jangan lepas tangan kandungan memudaratkan - Fahmi
- Suara Keadilan
- Jun 3
- 2 min read

Pengendali platform media sosial diingatkan agar turut bertanggungjawab terhadap isi kandungan mereka yang boleh menjurus kepada perbuatan memudaratkan termasuk bunuh diri, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau turut membidas sesetengah media sosial yang bersikap lepas tangan terhadap kandungan berbahaya tersebut termasuk enggan menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).
"Kita perlu libatkan bukan sekadar media arus perdana, tetapi juga platform media sosial.
"Pengusaha seperti TikTok, Facebook dan yang lain mereka perlu faham bahawa sebarang perkara yang menjurus ke arah bukan pelaporan tapi dipamerkan dalam platform perlu diambil tindakan
"Kita tidak mahu platform media sosial ini hanya "cuci tangan" (terhadap) kandungan yang datangkan bahaya terutama kes bunuh diri
"Saya sudah minta CMCF minta media sosial untuk turut sama menyertai dan menjadi anggota forum...[setakat ini] hanya TikTok secara sukarela menjadi ahli CMCF sebelum kita mewujudkan pelesenan tetapi Facebook, Instagram dan X beri pelbagai alasan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Garis Panduan Untuk Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri di Menara Star, Petaling Jaya hari ini.
Turut hadir Pengerusi CMCF Rafiq Razali yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Pengerusi Star Media Group Tan Sri Wong Foon Meng dan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari.
Fahmi berkata sesetengah pengendali platform media sosial hanya mementingkan keuntungan sebaliknya lambat bertindak dalam aspek mematuhi undang-undang.
"Banyak negara di Asia Pasifik hadapi masalah dengan media sosial. Mereka [platform media sosial] rasa lebih besar daripada undang-undang negara kita, bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi juga Asia Pasifik.
"Bab buat duit, mereka sangat pantas. Bab patuh dengan undang-undang, sangat lembab. Bukan di Malaysia sahaja, tetapi di banyak negara," katanya.
Dalam hal ini beliau berkata negara ASEAN telah berusaha untuk memastikan media sosial mematuhi peraturan sebagaimana dinyatakan dalam Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dimuktamadkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan.
"Deklarasi itu adalah kenyataan hasrat bersama negara ASEAN untuk memastikan semua platform digital menghormati dan mematuhi undang-undang serta menjaga keselamatan sosial di negara masing-masing," katanya.
Comments