
Berita mengenai kadar faedah ditetapkan Bank Negara Malaysia atau OPR yang dilaporkan Berita Harian (BH) akan naik berdasarkan pendapat penganalisis ekonomi tetapi disensasikan seolah olah akan naik di Facebook agensi media tersebut ditegur oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.
Sehubungan itu, Menterinya Ahmad Fahmi Fadzil semalam mengadakan pertemuan bersama editor BH termasuk Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta pengurusan tertinggi Media Prima, syarikat induk BH.
Menurut Fahmi, beliau memberi kebebasan penuh kepada media menerbitkan berita berdasarkan analisis namun tidak wajar disiarkan seolah olah perkara tersebut telah diputuskan.
"Sebenarnya rencana itu sekadar memetik pendapat seorang penganalisis, dan saya tiada masalah dengan laporan ini. Tetapi post FB itu jauh berbeza kerana memberi gambaran seolah-olah Bank Negara atau Kerajaan telah membuat keputusan. Ini tidak benar dan tidak adil kepada Bank Negara dan Kerajaan.
"Pengurusan BH faham apa yang saya maksudkan dalam hal ini dan telah bersetuju untuk membetulkan post tersebut. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan pengurusan di atas kerjasama ini," katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan sejak 2018 tidak lagi mengawal media arus perdana dengan meletakkan individu tertentu lantikan politik di dalam organisasi media untuk memastikan laporan memihak kepada kerajaan sebagaimana amalan kerajaan sebelum itu.
Media utama juga sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan ditubuhkan telah meminta kebebasan dan tidak mengulangi 'amalan lama' ke atas mereka.
Namun bagi Fahmi, media utama tidak sewajarnya bertentangan dengan kerajaan atau mengelirukan rakyat dalam tajuk tajuk berita mereka.
Bagaimanapun, dalam pertemuan semalam Fahmi keadaan telah dijernihkan dan beliau serta editor BH sempat bertukar pandangan tentang isu kebebasan media, etika kewartawanan, serta cabaran ekonomi yang dihadapi industri.
"Saya hormati dan akan sentiasa pertahankan hak serta kebebasan media.
"Namun teguran perlu dibuat jika wujud salah faham yang boleh menimbulkan fitnah, contohnya, apabila tajuk yang dipilih jauh maksudnya daripada isi kandungan sebenar," katanya lagi.