top of page

MCMC tumpas sindiket SMS penipuan guna Fake BTS

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 2
  • 1 min read

Kenderaan menjalankan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu disita MCMC
Kenderaan menjalankan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu disita MCMC

Oleh: Azuan Ab Rahman


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan kegiatan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan kepada pengguna menerusi satu operasi di Genting Highlands, pada 19 Januari lalu.


Menerusi satu kenyataan, MCMC memaklumkan pihaknya mengesan dua buah kenderaan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS).


"Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS penipuan kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang.


"Susulan itu, MCMC telah merampas peralatan serta peranti kawalan yang digunakan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.


Suruhanjaya itu turut memaklumkan, kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama bersepadu bersama syarikat telekomunikasi melalui pemantauan, risikan teknikal serta analisis rangkaian secara berterusan.


Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


"Siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya," tambahnya.


Dalam kenyataan sama, MCMC menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta integriti sistem telekomunikasi negara.


Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page