Oleh: Abdullah Zaid
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial.
Oleh itu, MCMC telah menurun 27,115 kandungan provokatif di media sosial bagi dua bulan pertama tahun ini dan menurunkan 35,490 kandungan sedemikan sepanjang tahun lalu.
Jelasnya, terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT) pada dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Sejumlah 2,004 kandungan membabitkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.
"Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R diturunkan sejak 13 Mac hingga kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu dan ia mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.
Justeru, MCMC mengingatkan semua pihak supaya menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen-komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial.
"Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Comments