top of page

Tidak jadi gantung, pengendali stesen radio Era FM dikompaun RM250,000

Updated: Mar 12



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak meneruskan tindakan menggantung operasi stesen radio Era FM yang terpalit kontroversi tiga juruhebahnya dikatakan mempersenda agama Hindu sebaliknya menggantikannya dengan kompaun RM250,000 kerana memuat naik kandungan jelik melampau di platform media sosial.


MCMC dalam kenyataan pada Isnin berkata keputusan itu dilakukan setelah menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM, berhubung notis niat penggantungan lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac lalu.


"Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan telah dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.


"Bagaimanapun, Maestra Broadcast telah dikenakan kompaun RM250,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara," kata kenyataan itu.


Suruhanjaya itu berkata keputusan itu dilakukan setelah memberikan pertimbangan terhadap tindakan susulan syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.


"MCMC memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia," kata kenyataan itu.


Sebelum ini MCMC memanggil pengurusan tertinggi Astro bagi merakamkan percakapan dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Enam individu dari stesen radio tersebut termasuk tiga juruhebah terbabit hadir memberikan keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Bukit Aman pada pagi Rabu minggu lalu selama kira-kira dua jam.


Terdahulu juruhebah radio slot 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy memohon maaf berikutan rakaman video yang dimuat naik di TikTok stesen radio itu memaparkan mereka meniru perbuatan yang dikatakan seperti membawa kavadi sambil menyebut "vel, vel" disusuli gelak ketawa.


Bagaimanapun, beberapa pengguna media sosial mempertahankan ketiga-tiga juruhebah tersebut dengan menepis tarian yang dibuat oleh Azad menghina perarakan kavadi sebaliknya parodi gaya petinju Muay Thai Miki Ghazali ketika memasuki gelanggang.


Latar belakang muzik tarian itu merujuk kepada lagu funk Brazil berjudul "Jogadinha do Paquetá" yang dikeluarkan pada 2022 dan dikaitkan dengan pemain bola sepak Lucas Paquetá hingga menjadi popular di media sosial.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page