MCMC terima 463 permohonan turun kadungan berita palsu di media sosial
- Akmal Manaf

- Apr 22
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima sebanyak 463 permohonan penurunan kandungan berita palsu di platform media sosial setakat jam 7 pagi tadi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, majoriti kandungan itu melibatkan platform Facebook, diikuti Tik Tok dan Threads.
Beliau berkata, isu harga bahan api dan tol Selat Hormuz dikenal pasti paling banyak disebarkan.
"Berdasarkan aduan yang telah dibuat, jumlah terbesar adalah platform Facebook (iaitu) sebanyak 185 permohonan, manakala jumlah kedua tertinggi adalah di TikTok dengan 142 kandungan, manakala ketiga di (platform) Threads iaitu sebanyak 131 kandungan.
"Dari 463 permohonan ini, sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka di mana satu kes telah diputuskan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk dituduh di mahkamah.
"Lima (kes) telah mendapat nasihat Peguam Negara untuk dikenakan arahan kompaun, manakala bakinya masih dalam siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Pada 18 April lalu, MCMC telah membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai menyebarkan berita palsu berkaitan dakwaan pembekalan bahan api diesel ke Filipina.
Dalam kenyataannya, MCMC memaklumkan, pihak berkuasa telah mengesahkan diesel tersebut adalah milik syarikat perdagangan antarabangsa Vitol dan bukan milik Petronas atau Kerajaan Malaysia.
Justeru, individu terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan manakala peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan lanjut.
Suruhanjaya itu menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.




Comments