MCMC sita 6,916 peralatan komunikasi tidak diperakui RM2.06 juta
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi yang dipercayai tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal dalam Op V380 membabitkan nilai keseluruhan RM2.06 juta.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan operasi pada 24 Jun lalu itu menyasarkan sebuah syarikat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan serta pemilikan kelengkapan komunikasi bagi tujuan jualan tanpa pengiktirafan pihak berkuasa.
"Antara kelengkapan komunikasi yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV). Turut disita bagi membantu siasatan ialah komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router)," kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, Op V380 dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik bersama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku agensi pentauliahan berdaftar.
Operasi berkenaan melibatkan 44 pegawai yang dijalankan secara serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru, katanya.
Jelas kenyataan itu, siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi terbabit ditawarkan dan dijual menerusi platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee.
Seramai lapan individu termasuk pengurusan syarikat, pembantu gudang serta hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, ujarnya.
MCMC berkata, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh memberi risiko kepada keselamatan pengguna kerana tidak memenuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
"Selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi," katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"MCMC akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran serta pemilikan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko gangguan kepada rangkaian komunikasi negara," kata MCMC lagi.




Comments