MCMC siasat insiden pijak al-Quran di Singapura yang tular semula
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama bertarikh 2024 melibatkan insiden seorang warga Singapura yang memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan tersebut yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
"Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di Singapura," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia.
Menurut MCMC, sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan sedia ada.
"Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok, bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia," kata kenyataan itu lagi.
MCMC menasihatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.




Comments