MCMC perlu diberi kuasa penuh wajibkan platform sekat CSAM - Pakar
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Malaysia perlu segera memperkukuh kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mewajibkan semua platform digital melaporkan dan menyekat kandungan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) secara serta-merta.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Saad, berkata demikian susulan penemuan mengejutkan 880,000 fail CSAM serta 31 tangkapan yang diumumkan pihak berkuasa baru-baru ini yang menurutnya membuktikan jenayah itu kini berlaku pada skala amat besar dan tersusun.
"Pendedahan ini jelas menunjukkan Malaysia memerlukan sistem pengesanan automatik, perkongsian data pantas dengan platform global dan prosedur takedown yang lebih agresif terhadap akaun yang mencurigakan.
"MCMC perlu diberi kuasa untuk mewajibkan platform melapor dan menyekat kandungan CSAM secara serta-merta, sama seperti standard Kesatuan Eropah (EU) dan Australia," kata Prof Dr. Fauziah kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau, pendedahan besar itu jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memberikan MCMC kuasa mandatori bagi memaksa platform media sosial, aplikasi mesej dan penyedia perkhidmatan digital bertindak segera tanpa menunggu laporan pengguna.
Mengulas mengenai operasi yang menemukan hampir sejuta fail CSAM itu, Dr. Fauziah berkata jumlah itu menunjukkan pasaran gelap CSAM di Malaysia bukan insiden terpencil, tetapi rangkaian aktif dan tersusun.

"Pelaku berkongsi, membeli, menjual dan menukar bahan melalui rangkaian tertutup. Tanpa kuasa penyekatan serta-merta, pemangsa mempunyai masa yang cukup untuk memindahkan atau memadam bukti," jelasnya.
Beliau turut menerangkan bahawa modus operandi pemangsa seksual kanak-kanak semakin licik dengan penggunaan kod rahsia, hashtag tersembunyi dan kandungan yang diubah suai untuk mengelakkan algoritma platform.
"Kita tidak boleh mengharapkan laporan pengguna sahaja. Penguatkuasaan memerlukan sokongan platform dan kuasa undang-undang yang jelas," katanya.
Dalam pada itu, Prof Dr. Fauziah turut menyokong langkah kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun media sosial, sebagai sebahagian usaha menyekat akses pemangsa kepada golongan paling berisiko.
Menurutnya, kanak-kanak bawah 16 tahun masih belum mempunyai kematangan neuropsikologi untuk menilai risiko, menjadikan mereka mudah dimanipulasi melalui grooming, sextortion dan ugutan digital.
Tambah beliau, pelaksanaan kuasa mandatori ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi langkah keselamatan nasional yang melibatkan masa depan kanak-kanak negara.
"Data global menunjukkan kumpulan bawah 16 tahun ialah sasaran paling aktif pemangsa. Memberi SKMM kuasa penuh dan menaikkan had umur adalah langkah pencegahan paling efektif.
"Fungsi “impulse control” dan prefrontal cortex belum matang dan mereka mudah terikut emosi, pujian palsu, grooming, ugutan digital serta tidak mampu mengenal apabila seseorang adalah pemangsa, terutama jika penyamaran dilakukan dengan baik.
"Ini meletakkan mereka dalam risiko tinggi CSAM, sextortion, grooming, dan eksploitasi seksual.
"Oleh itu, menaikkan had umur adalah langkah pencegahan awal yang cost-effective dan terbukti mengurangkan pendedahan kepada ruang berisiko," ujarnya lagi.





