MCMC perkukuh pembangunan bakat berkemahiran tinggi sektor komunikasi
- Suara Keadilan
- 27 minutes ago
- 2 min read

Pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor komunikasi dan multimedia terus menjadi keutamaan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluaskan pelaksanaan program kebajikannya menerusi MCMC CARE.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan bersepadu itu dirangka bagi memastikan negara memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat teknologi komunikasi global.
"Melalui MCMC CARE, kita memberi tumpuan kepada pembangunan bakat yang mempunyai kemahiran relevan dengan keperluan industri komunikasi dan multimedia, selari dengan landskap teknologi yang semakin kompleks," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Anugerah Biasiswa MCMC 2025 di sini.
Beliau berkata program berkenaan melengkapkan inisiatif sedia ada MCMC dalam melahirkan bakat tempatan, termasuk menerusi MCMC LEGASI yang menyasarkan pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang berkaitan komunikasi dan teknologi.
Pada majlis sama, Fahmi turut mengumumkan MCMC akan menawarkan biasiswa kepada lima pelajar cemerlang dari Palestin bagi melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan rangkaian atau radio di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dengan kerjasama Kedutaan Palestin.
Menurutnya, inisiatif pendidikan itu dirangka sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti khususnya kepada golongan muda yang berminat membina kepakaran teknikal dalam bidang komunikasi.
"Biasiswa ini akan memberi keutamaan kepada pelajar dari Gaza, Ramallah, Tebing Barat, Nablus serta wilayah lain di Palestin yang berminat mendalami bidang kejuruteraan rangkaian atau radio," katanya.
Beliau menegaskan kerjasama pendidikan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong pembangunan modal insan Palestin melalui pendekatan yang bersifat praktikal dan berimpak jangka panjang.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyentuh keperluan generasi muda menguasai teknologi baharu seperti komunikasi kuantum dan teknologi satelit bagi memastikan daya saing negara pada masa hadapan.
"Perkembangan teknologi ini akan mengubah landskap industri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, dan kita perlu bersedia dari sekarang dengan melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi," katanya.





